Home Berita PAS Sabah

Ramadan: Jaga sembahyang, jaga puasa

25
SHARE

Oleh : Yusrizal Baco
16 Mac 2024

SEPANGGAR : Sepanjang ramadan ini, setiap muslim wajib berpuasa dan menjaga solatnya bagi meraih redha Allah.

Menurut Persuruhjaya PAS Sabah, Dr. Aliakbar Gulasan, berpuasa itu fardu begitu juga dengan sembahyang lima waktu itu wajib.

“Berapa ramai yang berpuasa, tetapi tidak menjaga sembahyang fardu? Ibadah puasa termasuk dalam rukun Islam dan merupakan rukun ketiga selepas sembahyang.

“Maksudnya, selepas membuat pengakuan taat setia, maka umat islam diuji dengan suatu perintah aneh iaitu puasa,” ujar beliau dalam facebooknya baru-baru ini.

Menurutnya, kaum muslimin tidak dibenarkan makan pada siang hari selama sebulan sekalipun lapar dan makanan ada di hadapan mata.

Ini kerana, puasa mengajar kita erti kesabaran dan keikhlasan beribadah. Alangkah ruginya kita apabila berpuasa tetapi tidak mengambil berat perihal sembahyang.

“Sembahyang dan puasa mesti berjalan seiringan. Apalah guna puasa tanpa sembahyang. Apalah ertinya sembahyang tanpa puasa.

“Saya berharap, jangan lagi umat Islam meremehkan sembahyang fardu lima waktu. Datang dan hidupkan masjid, surau dan musala,” katanya lagi.

Beliau berharap ibu bapa dapat mendidik anak-anak untuk mendirikan dan menjaga sembahyang sebelum mengajarnya untuk berpuasa.

Tambahnya, Rasulullah SAW mengajar kita agar mendidik dengan sembahyang seawal usia 7 tahun.

“Rasulullah tidak pernah menyuruh ibu bapa memaksa si kecil untuk berpuasa sehingga meninggalkan sembahyang kerana sembahyang merupakan tunjang paling utama dalam pendidikan dan tarbiah Islam.”

“Berpuasalah dan bersembahyanglah untuk meraih reda Allah SWT,” ujarnya lagi.