Oleh : Afiq Saadi
BESUT – Seramai 27 bekas ahli UMNO Cawangan Darang Buaya secara rasmi menyertai PAS dalam Majlis Liqa’ Mahabbah DUN Jerteh berlangsung di Balai Raya Darang Buaya malam tadi.
Penyerahan borang keahlian disempurnakan di hadapan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Haji Husain Awang.
Menurut Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Jerteh YB Ustaz Dr Riduan Mohd Nor, gelombang kemasukan ahli baharu ini menandakan permulaan kepada perubahan politik yang semakin dirasai di Jerteh.
“Malam ini kita menyaksikan 27 ahli Umno menyerahkan borang keahlian PAS.

“Insya-Allah, pada Januari nanti 25 lagi akan menyusul. Kempen ‘Selamat Tinggal Umno’ akan diteruskan di beberapa kawasan termasuk Darang Buaya, Pulau Rima, Gong Nering dan Gerai,” katanya.
Beliau menambah, ahli baharu ini akan dibimbing melalui program Al-Fahmu dan siri tarbiyah bagi memperkukuh kefahaman terhadap dasar perjuangan Islam yang dibawa PAS.
Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Dewan Ulamak PAS Pusat, YB Ustaz Hishamuddin Abdul Karim, menegaskan pendekatan politik matang akan terus diamalkan.
“Kita keluar daripada Umno bukan bermakna bermusuh. Umno tetap sahabat selagi perjuangan demi rakyat dan Islam dikongsi bersama,” ujarnya.

Selain daripada itu, Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Harun Isa, pula menyifatkan perkembangan itu sebagai petanda rakyat semakin yakin dengan kepimpinan PAS di Terengganu.
“Setenang dan sebahagia Terengganu.
“Semakin ramai yang mengadakan ceramah mengecam dan merendah-rendahkan pemerintah Terengganu dan Dr Sam.
“Semakin ramai pula yang berpindah aliran politik kepada PAS. Malam tadi di Besut, seramai 27 orang memilih berpindah dari UMNO untuk menyertai PAS,” ujarnya.
Majlis tersebut diakhiri dengan sesi ramah mesra bersama pimpinan dan pendaftaran susulan ahli baharu, menandakan langkah awal menuju kempen keahlian berskala besar yang dijadualkan pada tahun 2026.





