Home Berita PAS Sabah

25 tahun PAS terus berkembang di bumi keningau

38
SHARE

Oleh: Mimi Hazwa MS
24 Jun 2025

KENINGAU: “Ditubuhkan pada tahun 2000, PAS Keningau sudah berusia 25 tahun tetap terus berkembang dan membangun di bumi Keningau sehingga kini,” kata Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Kawasan Keningau kali ke 25 di Dewan Kisaie Seri Tahfiz Al Ilmi di sini kelmarin.

Beliau berharap PAS di kawasan Keningau akan terus konsisten dalam menambah ahli dari tahun ke tahun agar dengan penambahan kuantiti ahli dalam jemaah dapat memastikan kualiti gerak kerja di kawasan Keningau bertambah baik serta dapat diurus dengan lebih teratur.

Datuk Dr. Aliakbar juga menegaskan dalam ucapannya bahawa kepimpinan di kawasan tidak semestinya dipilih atau diketuai oleh ahli tempatan, apa yang penting cara memimpin ahli jemaah di bawah pimpinannya melalui mesyuarat, usrah dan pelbagai program yang dianjurkan di peringkat kawasan terus berjalan.

Turut menyampaikan ucapan dalam MAT PAS Kawasan Keningau ialah pengarah MAT kali ke-25, Shahid Yusuff Che Mood merangkap Setiausaha PAS kawasan Keningau.

Dalam ucapannya, Shahid menyatakan bahawa jemaah PAS Kawasan Keningau akan terus komited dan bersedia pada bila-bila masa diperlukan untuk PAS Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

MAT PAS Kawasan Keningau kali ini turut mengadakan pemilihan calon untuk pimpinan baharu yang menyaksikan Ustaz Abdul Muein Mohd Noor dipilih secara rasmi sebagai Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Keningau yang baharu.

Kepemimpinan baharu dipercayai akan terus memimpin PAS Keningau dengan lebih berjaya dalam tarbiah, dakwah dan siasah.