Oleh : Jaudin M Amin
BUKIT GANTANG, Seramai 245 orang asnaf pelbagai golongan dalam Parlimen Bukit Gantang menerima sumbangan wang tunai dan bakul makanan sempena sambutan Aidiladha secara pandu lalu di sini baru-baru ini.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 130 bakul makanan diagihkan bagi DUN Kuala Sepetang melibatkan 7 buah kampung manakala 115 penerima sumbangan wang tunai bagi DUN Changkat Jering.
Sumbangan disempurnakan Naib Presiden PAS, Idris Haji Ahmad dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dan penyampaian sumbangan wang tunai secara pandu lalu atau ‘drive thru’.
Ketika ditemui, Idris menyatakan sumbangan tersebut sebagai tanda ingatan daripada PAS Kawasan Bukit Gantang kepada golongan asnaf dan mereka yang terkesan sepanjang tempoh pandemik COVID-19 sejak tahun lalu lagi.
“Harapannya dengan sedikit sumbangan yang disampaikan dapat menceriakan sambutan Hari Raya Aidiladha kali ini dan meringankan beban yang mereka hadapi.
“InsyaAllah, PAS Kawasan melalui Pusat Khidmat dan Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan akan terus menyusun program kebajikan sepanjang tahun ini bagi menyantuni golongan asnaf,” jelas Idris lagi.
Turut hadir menyempurnakannya Yang DiPertua PAS Kawasan Bukit Gantang, Muhammad Faisal Abdul Rahman, Timbalan Yang Dipertua, Zulkefly Ahmed dan Naib Yang Dipertua, Haji Rahim Ismail.