Home Berita PAS Terengganu

225 Pelajar terima sumbangan ke IPT

30
SHARE

BESUT,10 November – Seramai 225 pelajar telah menerima sumbangan bagi membantu meringankan beban mereka yang berjaya melanjutkan pengajian tinggi ke Institut Pengajian Tinggi Awam atau swasta (IPTA/IPTS).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh, berkata inisiatif diberikan itu sebagai peransang agar kesemua mereka yang akan menyambung pengajian tinggi itu bersungguh-sungguh menimba ilmu di menara gading.

“Pendidikan adalah kunci kepada masa depan yang lebih cerah. Saya berharap agar semua pelajar dapat menggunakan peluang ini dengan sebaik-baiknya dan terus berusaha mencapai kejayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan tersebut kepada para penerima sumbangan tersebut di Dewan Sivik Kampung Baharu, di sini, baru-baru ini.

Ujarnya, walaupun ada pelajar yang tidak hadir kerana telah memulakan pengajian namun bantuan itu tetap diberikan melalui ibu bapa mereka.

“Saya memohon maaf diatas kelewatan sumbangan ini dan juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima atas pencapaian cemerlang dan berharap agar sumbangan ini akan dapat meringkan beban kewangan.

“Serta menjadi pendorong untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu Salah seorang penerima sumbangan, Ahmad Ikram Zulkefli, yang bakal melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan Islam di University Sains Islam Malaysia (USIM) berkata sangat menghargai sumbangan yang diberikan itu.

“Saya amat berterima kasih kepada Azbi Salleh atas sumbangan ini. Ia benar-benar membantu saya dan keluarga dalam persediaan melanjutkan pengajian. Saya akan berusaha untuk mencapai kejayaan demi membanggakan keluarga dan masyarakat,”katanya.