Home Berita PAS Terengganu

22 acara pelancongan menarik menanti, moh ke Terengganu!

165
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu mengumumkan sebanyak 22 acara utama bakal mewarnai kalendar pelancongan Terengganu tahun ini.

Sekalipun masih berdepan penularan pandemik Covid-19, kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri telah merangka pelbagai aktiviti kebudayaan dan pelancongan, termasuk bertaraf antarabangsa bagi menarik pelancong ke negeri pantai timur itu bagi tahun 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pemilihan acara-acara dalam kalendar utama mempunyai impak dan kekuatan tersendiri selain mampu menjadi daya tarik kepada pengunjung yang datang.

“Kerajaan negeri mempunyai harapan besar dalam menjadikan Terengganu sebagai negeri yang bukan sahaja menawarkan destinasi menarik, tetapi menyajikan pengalaman pelancongan melalui penganjuran acara.

“Hasrat melaksanakan ‘Calendar For Event’ (COE) sebelum ini agak tergendala kerana kita berdepan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lepas, namun kini agak beransur pulih.

“Jadi, mudah-mudahan COE yang dilancarkan hari ini dapat menjadikan Terengganu destinasi terpenting bagi kedatangan pelancong khususnya pelancong tempatan dan sebenarnya, kita juga menjemput pelancong-pelancong luar untuk datang berkunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan COE 2022 di Primula Beach Hotel, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Fadli Yusof Zakaria dan Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Terengganu, Zanariah Zakaria.

Tambah Ariffin, terdapat beberapa acara baru yang menarik bakal disajikan kepada pengunjung yang datang.

“Sebenarnya, kita buat kesesuaian semula pada tahun ini. Kita banyak acara menarik di peringkat daerah dan kita ambil sebahagian daripadanya ke dalam kalendar utama kita.

“Antara acara yang dijangka menjadi tumpuan adalah Karnival Beautiful Terengganu yang akan diadakan sempena pembukaan Jambatan Pulau Poh, Tasik Kenyir dengan kerjasama Terengganu Incorporated Sdn. Bhd (Terengganu Inc) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).

“Pelbagai acara menarik akan diadakan dan lebih unik, perasmian acara akan dilakukan pada sebelah malam yang mana tidak pernah diadakan di Tasik Kenyir sebelum ini,” katanya.

Selain itu, antara acara yang turut diadakan ialah Festival Warisan Sungai (Mac), Karnival Candat Sotong (April), Karnival Budaya Terengganu (Jun), Karnival Pantai (Julai), Terengganu International Air Festival (Ogos), Tenggiri Challenge dan Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (September), Alami Rasa Terengganu (Oktober), Tasik Puteri Jet Ski Challenge (November) dan Monsoon Casting Tournament (Disember).

Untuk maklumat lanjut, perkembangan aktiviti-aktiviti menarik pelancongan negeri Terengganu dapat diketahui menerusi pelbagai laman sosial rasmi ‘Beautiful Terengganu Malaysia’ dan twitter @trgtourism.