KelantanNegeri

Pemilik ternakan cuai dikenakan kompaun biar haiwan merayau

Oleh: Irham Hilmi Hashim

GUA MUSANG, 14 Mei — Pemilik ternakan yang didapati cuai sehingga menyebabkan haiwan peliharaan mereka merayau bebas di kawasan awam bakal dikenakan tindakan kompaun mengikut Undang-Undang Kecil yang telah ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, tindakan tegas itu penting bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta mengelakkan gangguan kepada masyarakat setempat.

Menurutnya, operasi bersepadu tangkapan haiwan merayau yang dijalankan oleh penguat kuasa Majlis Daerah Gua Musang membuktikan isu haiwan ternakan berkeliaran masih berlaku dan memerlukan perhatian serius daripada pemilik ternakan.

“Pemilik haiwan perlu lebih bertanggungjawab dengan memastikan ternakan mereka sentiasa dikawal dan tidak dilepaskan bebas sehingga boleh mendatangkan risiko kemalangan serta mengganggu ketenteraman awam,” katanya menerusi media sosial, hari ini.

Terdahulu, operasi itu dijalankan susulan aduan awam di beberapa lokasi termasuk jalan Kuala Krai-Gua Musang, Paloh-Chalil dan Sungai Asap melibatkan 18 anggota penguat kuasa Majlis Daerah Gua Musang, bermula pukul 9 malam, semalam.

Sumber: inforakyat.kelantan.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️