Minda PresidenPresiden

Islam Adalah Penyelesaian

A. MUQADDIMAH

Saya ucapkan “Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum”, Selamat Datang dan Selamat Bermuktamar kepada semua perwakilan, pemerhati dan tetamu yang hadir bagi memeriahkan Muktamar Tahunan PAS kali ke-70 yang diadakan pada tahun ini di Negeri Pahang Darul Makmur.

Gunung Tahan sama didaki,
Sungai Pahang sama direnang,
Bila semua bersatu hati,
Kerja susah menjadi senang.

PAS dilahirkan daripada gerakan islah dan tajdid yang ditubuhkan sejak umat Islam mengalami kelemahan, sehingga hilangnya kuasa politik yang menyebabkan negara-negara umat Islam dijajah dan mengalami masalah selepas keluarnya penjajah dari tanah air mereka.

Segala halangan itu gagal menyekat kemaraan PAS melalui pendekatan demokrasi serta politik matang dan sejahtera, kerana kegagalan ideologi dan kelemahan undang-undang ciptaan manusia gagal menutup kepalsuan dan penipuan mereka.

Sehingga kini, kita menjadi parti terbanyak kerusi di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), menguasai empat kerajaan negeri dan hampir menawan dua negeri, di samping adanya wakil rakyat di hampir semua negeri.

Kini, umat Islam semakin mara ke hadapan dan berjaya meletakkan Islam menjadi agama negara, serta menjadikan kebangsaan Melayu yang tidak berpisah daripada Islam.

B. TEMA MUKTAMAR: ‘ISLAM ADALAH PENYELESAIAN’

Akibat kelemahan semua ideologi warisan penjajah itu, maka dunia kini dilanda krisis kemanusiaan, bermula daripada krisis peribadi, keluarga dan masyarakat, sehingga krisis negara dan antarabangsa dalam segala aspek, termasuk alam sekitar.
Krisis ini dicetuskan oleh manusia sendiri yang lupa akan kelemahannya sebagai makhluk, sedangkan manusia sangat berhajat kepada petunjuk Allah yang bernama Islam. Maka, muktamar kali ini menegaskan tema: ‘ISLAM ADALAH PENYELESAIAN’.

Allah SWT mengemukakan soalan supaya manusia berfikir:

أَفَغَيۡرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبۡغُونَ وَلَهُۥٓ أَسۡلَمَ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعٗا وَكَرۡهٗا وَإِلَيۡهِ يُرۡجَعُونَ ٨٣

“Maka, adakah patut sesudah itu mereka mencari agama yang lain selain agama Allah (Islam)? Padahal kepada Allah menyerahkan diri (Islam) segala apa yang di langit dan di bumi, baik secara sukarela (pilihan sendiri) mahupun terpaksa (mengikut fitrahnya); dan hanya kepada-Nya mereka dikembalikan.” [Surah Ali ‘Imran: 83]

Islam yang difahami di sini adalah daripada perkataan ‘al-din’ dalam bahasa al-Quran, bukan daripada perkataan agama dengan maksud yang sempit dan tidak sempurna. Islam merupakan petunjuk Allah yang sempurna kepada manusia dalam semua urusan kehidupannya.

Firman Allah SWT:

…ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَٰمَ دِينٗاۚ …٣

“…Pada hari ini, telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan ni‘mat-Ku kepada kamu, dan telah Aku meredai Islam itu menjadi agama bagi kamu…” [Surah al-Ma’idah: 3]

C. PEMBANGUNAN INSAN

Islam berjaya mengurus manusia yang bermasyarakat majmuk, pelbagai kebolehan, kemampuan dan hasil bumi, melalui ilmu dan tarbiah yang mempunyai hubungan dengan Allah Pencipta Alam.

Muhasabah wajib dilakukan terhadap sistem pendidikan, media dan dakwah supaya pembangunan insan yang sempurna hendaklah mengikut acuan Islam. Kejayaan pembinaan generasi awal bermula dengan pendidikan jasad, roh dan akal, sehinggalah bahasa yang digunakan.

Firman Allah SWT:

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِي خَلَقَ ١ خَلَقَ ٱلۡإِنسَٰنَ مِنۡ عَلَقٍ ٢ ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ ٣ ٱلَّذِي عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ ٤

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang Menciptakan (sekalian makhluk). (1) Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. (2) Bacalah, dan Tuhanmu jua Yang Maha Pemurah. (3) (Tuhan) yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam (pena dan tulisan). (4)” [Surah al-‘Alaq: 1-4]

Firman Allah SWT:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمۡۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِي مَن يَشَآءُۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٤

“Dan Kami tidak mengutus seorang rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya dia dapat memberikan penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka, Allah menyesatkan sesiapa yang Dia kehendaki, dan memberikan petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Dialah Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” [Surah Ibrahim: 4]

Ayat ini menyatakan peranan bahasa kebangsaan kepada sesebuah bangsa dalam aspek ilmu melalui pelajaran, pendidikan, dakwah dan media.

Dalam aspek ekonomi, sebenarnya Allah memberikan kemampuan, rezeki dan tenaga yang cukup kepada manusia. Bahkan, Allah juga menentukan tugasan manusia yang masing-masing berbeza dari sudut ilmu dan kemampuan dalam mengurus alam, supaya mereka tidak melampau dan bersikap saksama sesama manusia. Firman Allah SWT:

۞وَلَوۡ بَسَطَ ٱللَّهُ ٱلرِّزۡقَ لِعِبَادِهِۦ لَبَغَوۡاْ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٖ مَّا يَشَآءُۚ إِنَّهُۥ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرُۢ بَصِيرٞ ٢٧

“Dan sekiranya Allah melapangkan rezeki kepada setiap hamba-Nya, nescaya mereka akan melampaui batas di muka bumi, tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendaki-Nya dengan kadar ukuran. Sesungguhnya, Dia Maha Mengetahui (keadaan) hamba-hamba-Nya lagi Maha Melihat. (27)” [Surah al-Shura: 27]

D. PUNCA KRISIS NILAI

Berlakunya krisis yang merosakkan kehidupan manusia berpunca daripada manusia sendiri. Mereka telah meninggalkan petunjuk Allah dan mencipta aturan sendiri di luar kemampuan akal yang tidak sempurna, sehingga melanggar sempadan fitrah yang ditetapkan oleh Allah. Firman Allah SWT:

وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يُعۡجِبُكَ قَوۡلُهُۥ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَيُشۡهِدُ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا فِي قَلۡبِهِۦ وَهُوَ أَلَدُّ ٱلۡخِصَامِ ٢٠٤ وَإِذَا تَوَلَّىٰ سَعَىٰ فِي ٱلۡأَرۡضِ لِيُفۡسِدَ فِيهَا وَيُهۡلِكَ ٱلۡحَرۡثَ وَٱلنَّسۡلَۚ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلۡفَسَادَ ٢٠٥

“Dan antara manusia, ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu, dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal dia adalah penentang yang paling keras. (204) Dan apabila dia berpaling (daripada kamu), dia berjalan di bumi untuk mengadakan kerosakan padanya, dan merosakkan tanam-tanaman dan binatang ternakan, dan Allah tidak menyukai kebinasaan. (205)” [Surah al-Baqarah: 204-205]

Ada kalangan agamawan bersama para pemimpin yang jahil dan zalim meminda agama Allah, dan ada yang mencipta agama sendiri. Malah, ada juga yang mencipta ideologi dan teori dalam perkara yang tidak diizinkan Allah kerana di luar kemampuan manusia. Firman Allah SWT:

أَمۡ لَهُمۡ شُرَكَـٰٓؤُاْ شَرَعُواْ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةُ ٱلۡفَصۡلِ لَقُضِيَ بَيۡنَهُمۡۗ وَإِنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ ٢١

“Adakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah? Sekiranya tiada ketetapan yang menentukan (daripada Allah), tentulah mereka telah dibinasakan. Dan sesungguhnya, orang-orang yang zalim itu akan memperoleh azab yang amat pedih.” [Surah al-Shura: 21]

Kita sedang menyaksikan kemunculan golongan pembohong menjadi pemimpin, pengkhianat diberikan amanah, dan si jahil yang berlagak tahu. Semua ini telah diberikan amaran oleh Rasulullah SAW:

إِنَّهَا ‌سَتَأْتِي ‌عَلَى ‌النَّاسِ ‌سِنُونَ ‌خَدَّاعَةٌ، يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ، وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ، وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ، وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ، وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ. قِيلَ: وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ؟ يَا رَسُولَ اللهِ. قَالَ: السَّفِيهُ يَتَكَلَّمُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ.

“Akan datang menemui manusia tahun-tahun yang banyak berlaku penipuan. Dianggap benar orang yang berbohong, dan dibohongi orang yang benar. Diberikan amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang yang benar-benar amanah. Dan ketika itu, muncul kalangan Ruwaibidah yang berbicara. Lalu ditanyakan kepada Baginda, ‘Wahai Rasulullah SAW! Siapakah Ruwaibidah itu?’ Sabda Baginda, ‘Orang yang jahil berlagak berbicara dalam perkara besar yang menyentuh masyarakat umum (lalu mengakibatkan kerosakan).’” (Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Mukthirin min al-Sahabah, No. 7912 dan Ibn Majah, Sunan Ibn Majah, Kitab al-Fitan, No. 4036, daripada Abu Hurairah)

Lebih-lebih lagi apabila perkara ini dilakukan oleh orang atasan yang memimpin negara. Para ulama’ telah menyebut:

النَّاسُ عَلَى دِينِ مَلُوكِهِمْ.

“Manusia itu terpengaruh dengan perangai para pemimpin yang memerintah mereka.” (Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, Jld. 9, Hlm. 186)

Maka, muhasabah wajib dilakukan terhadap negara hari ini yang menunggu giliran kemusnahannya.

Mulai daripada krisis politik, ekonomi dan sosial yang makin parah dengan pertambahan kes rasuah dan salah laku, akibat kegagalan mengatasi jenayah dan maksiat yang semakin meningkat, merosakkan kesihatan dan keselamatan. Sehinggalah krisis alam sekitar yang merosakkan cuaca dan kehidupan kerana kerakusan mengejar kebendaan dan nafsu melampau dalam semua aspek cara hidup.

Umat Islam wajib berperanan mengikut perintah Allah, sebagaimana yang diperintahkan dalam firman-Nya:

كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ …١١٠

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma‘ruf, dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah…” [Surah Ali ‘Imran: 110]

E. POLITIK PENYELESAIAN BERASASKAN ISLAM

I. Politik Berwawasan

Allah menetapkan peta jalan (road map) sebagai suatu sistem negara dengan firman-Nya:

ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١

“(Iaitu) orang-orang (Islam) yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar. Dan (ingatlah) kepada Allah jua kembali segala urusan.” [Surah al-Hajj: 41]

Terbukti dalam sejarah, Islam telah berjaya membangunkan umat yang bermula di bumi yang kering-kontang tidak mempunyai hasil, tiba-tiba melimpah-ruah hasilnya sehingga melebihi keperluan rakyat. Masyarakat yang terkenal dengan perpecahan dan peperangan dapat disatukan dengan aman. Masyarakat yang paling jahil bertukar menjadi pencipta tamadun Islam yang memberi kebahagiaan kepada seluruh manusia.

Islam diterima oleh semua masyarakat dan negeri yang dimasuki sebagai penyelamat, bukan penjajah, sehingga memerintah wilayah paling luas dan masyarakat yang majmuk dalam sejarah manusia. Islam berjaya menyatukan umatnya dengan menghadap ke arah satu kiblat dan mengucup Hajar al-Aswad (batu hitam) di Baitullah (rumah Allah) yang terletak di Makkah yang penuh keberkatan.

Tiba-tiba, kini ada yang bergantung kepada BlackRock (Batu Hitam) dan menghadap kiblat White House (Rumah Putih) yang sesat, bahkan meminta rezeki daripada Bank Dunia (World Bank) dan Tabung Kewangan Dunia (IMF). Mereka sepatutnya menghayati firman Allah SWT:

وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ ٩٦

“Dan sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu. Lalu Kami seksa mereka disebabkan perbuatan mereka.” [Surah al-A‘raf: 96]

Pada masa sama, suhu dalam politik dalam negara boleh diredakan melalui pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) dengan meletakkan kepentingan negara dan rakyat di hadapan, supaya dapat diwujudkan kestabilan politik dan ekonomi yang lebih sejahtera.

II. Ekonomi Berkat

Malangnya apabila Islam dipinggirkan, maka aspek ekonomi dibejatkan dengan penyakit riba, judi dan segala aspek ekonomi yang dilaknat oleh Allah, sehingga menghalalkan perkara yang haram. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَذَرُواْ مَا بَقِيَ مِنَ ٱلرِّبَوٰٓا إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ٢٧٨ فَإِن لَّمۡ تَفۡعَلُواْ فَأۡذَنُواْ بِحَرۡبٖ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦۖ وَإِن تُبۡتُمۡ فَلَكُمۡ رُءُوسُ أَمۡوَٰلِكُمۡ لَا تَظۡلِمُونَ وَلَا تُظۡلَمُونَ ٢٧٩

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan tinggalkan saki-baki riba (yang belum dipungut), jika kamu orang-orang yang beriman. (278) Maka, jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan saki-baki riba), maka ketahuilah, bahawa Allah dan rasul-Nya akan memerangimu. Namun, jika kamu bertaubat (daripada pengambilan riba), maka bagimu pokok asal harta kamu. Dengan itu, kamu tidak menganiaya orang lain dan tidak (pula) dianiaya. (279)” [Surah al-Baqarah: 278-279]

Kalimah berkat (بركة) tidak ada dalam istilah ideologi dan teori ciptaan manusia. Apabila hidayah ditinggalkan, maka kekayaan hasil bumi kurniaan Allah tidak memberikan manfaat kepada umat dan rakyat.

Sebaliknya, kekayaan itu dimusnahkan dengan pembaziran atau diangkut oleh penjajah dan bekas penjajah atau berpusing dalam kalangan kumpulan yang tertentu dengan budaya penipuan dan rasuah, atau dibocorkan dengan cara yang tidak berfaedah kepada negara dan rakyat. Allah SWT berfirman:

مَّآ أَفَآءَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِ كَيۡ لَا يَكُونَ دُولَةَۢ بَيۡنَ ٱلۡأَغۡنِيَآءِ مِنكُمۡۚ وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٧

“Apa sahaja harta (fai’ bukan dengan peperangan) yang dikurniakan Allah kepada Rasul-Nya (daripada harta benda) yang berasal daripada penduduk negeri, maka adalah untuk Allah, Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan (yang terputus bekalan). (Ketetapan yang demikian) adalah supaya harta itu tidak hanya beredar antara orang-orang kaya sahaja dalam kalangan kamu. Dan apa-apa yang diperintahkan Rasul kepada kamu, maka terimalah. Dan apa-apa yang dilarangnya, maka tinggalkanlah. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya, Allah amat keras hukumannya (bagi orang yang melanggar perintah-Nya).” [Surah al-Hashr: 7]

Kepesatan aktiviti ekonomi rakyat menambahkan hasil dan peluang pekerjaan. Maka, kerajaan Islam pada zaman keemasannya tidak bergantung kepada kenaikan cukai semata-mata sehingga membebankan rakyat dan menyebabkan berlaku inflasi, tetapi memanfaatkan sumber zakat dan wakaf secara saksama.

III. Tadbir Urus Yang Bersih

Ajaran Islam yang berteraskan aqidah mewujudkan tadbir urus yang bersih, kerana ia bukan sahaja dikawal oleh undang-undang syariat yang hebat mendidik, tetapi juga dikawal oleh keimanan dalam hati manusia dengan adanya perhitungan dosa dan pahala selepas meninggal dunia. Menjadikan hasil negara diurus dengan baik, sehingga tidak ada kebocoran dan keborosan. Firman Allah SWT:

وَلَا تَجۡعَلۡ يَدَكَ مَغۡلُولَةً إِلَىٰ عُنُقِكَ وَلَا تَبۡسُطۡهَا كُلَّ ٱلۡبَسۡطِ فَتَقۡعُدَ مَلُومٗا مَّحۡسُورًا ٢٩ إِنَّ رَبَّكَ يَبۡسُطُ ٱلرِّزۡقَ لِمَن يَشَآءُ وَيَقۡدِرُۚ إِنَّهُۥ كَانَ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرَۢا بَصِيرٗا ٣٠

“Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu (kedekut) dan janganlah kamu terlalu menghulurkannya kerana akibatnya kamu menjadi tercela dan menyesal. (29) Sesungguhnya, Tuhanmu melapangkan rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan menyempitkannya; sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Melihat sekalian hamba-hamba-Nya. (30)” [Surah al-Isra’: 29-30]

IV. Kehebatan Undang-Undang

Undang-undang Islam mampu mencegah kemungkaran sehingga berjaya mengatasi masalah jenayah dan maksiat. Namun undang-undang antarabangsa kini yang menjamin hak asasi manusia, menentang kezaliman dan segala jenis perbuatan melampau ditinggalkan, laksana sarang labah-labah yang memerangkap makhluk perosak yang kecil dan lemah sahaja.

Oleh itu, mereka yang berperang sehingga membunuh kanak-kanak dengan senjata yang dibekalkan tidak layak bercakap tentang hak asasi manusia dan demokrasi.

F. MENDEPANI CABARAN TERKINI

I. Menangani Halangan Pelaksanaan Undang-Undang Islam

Usaha PAS membawa penyelesaian Islam dihalang dalam perkara yang paling nyata seperti bantahan terhadap pengharaman judi dan arak yang dilaksanakan. Termasuklah segala usaha pelaksanaan syariat diganggu-gugat, kerana ada pihak yang melaksanakan agenda Islamofobia bagi menakut-nakutkan manusia terhadap Islam.

Pendekatan ini pernah dilakukan oleh musuh Islam pada zaman awal Islam yang menolak petunjuk Allah kerana tidak percaya atau ragu akan kebenaran dan janji Allah, walaupun pemimpin Jahiliah Makkah mengetahui kebenaran rasul akhir zaman, kebijaksanaan dan akhlaknya yang mulia.

Allah SWT menceritakan ucapan mereka apabila ditawarkan petunjuk Allah yang benar:

وَقَالُوٓاْ إِن نَّتَّبِعِ ٱلۡهُدَىٰ مَعَكَ نُتَخَطَّفۡ مِنۡ أَرۡضِنَآۚ أَوَ لَمۡ نُمَكِّن لَّهُمۡ حَرَمًا ءَامِنٗا يُجۡبَىٰٓ إِلَيۡهِ ثَمَرَٰتُ كُلِّ شَيۡءٖ رِّزۡقٗا مِّن لَّدُنَّا وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ ٥٧

“Dan mereka (yang kafir) berkata, ‘Jika kami mengikuti petunjuk bersama-sama kamu, nescaya kami akan diusir dari negeri kami.’ Mengapakah mereka berkata demikian? Bukankah Kami (Allah) meneguhkan kedudukan mereka dalam daerah Tanah Haram (tanah suci Makkah) tempat tinggal yang aman, yang didatangkan ke tempat itu buah-buahan daripada segala macam (tumbuh-tumbuhan) untuk menjadi rezeki (bagi kamu) dari sisi Kami? (Benar, kamu telah menjadikan semua itu) tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.” [Surah al-Qasas: 57]

Justeru adalah menjadi kewajipan kepada semua umat Islam supaya mempertahan dan memartabatkan undang-undang syariat, khususnya pengamal dan penggubal undang-undang, bukannya menghalang apatah lagi menghina.

II. Menangani Sekatan Ekonomi dan Pentadbiran

Cabaran kedua melalui sekatan ekonomi dan pentadbiran dengan cara merampas sumber negeri yang diperintah oleh PAS. Antaranya seperti membatalkan royalti petroleum Terengganu dan menafikan hak negeri Kelantan, sehinggalah menghalang kemenangan melalui demokrasi yang sah dan menafikan peruntukan bagi pembangkang. Semua ini seakan-akan meneruskan agenda sebagaimana golongan munafiq pada zaman awal Islam di Madinah:

هُمُ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ لَا تُنفِقُواْ عَلَىٰ مَنۡ عِندَ رَسُولِ ٱللَّهِ حَتَّىٰ يَنفَضُّواْۗ وَلِلَّهِ خَزَآئِنُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِنَّ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ لَا يَفۡقَهُونَ ٧

“Mereka orang-orang yang mengatakan (kepada orang-orang Ansar), ‘Janganlah kamu memberikan perbelanjaan (bersedekah) kepada orang-orang (Muhajirin) yang ada di sisi Rasulullah supaya mereka bubar (meninggalkan Rasulullah).’ Padahal kepunyaan Allah semua perbendaharaan yang ada di langit dan di bumi, tetapi orang-orang munafiq itu tidak memahami.” [Surah al-Munafiqun: 7]

Justeru semangat ‘federalisme ekonomi’ hendaklah dihormati dan segala bentuk sekatan yang menghalang hendaklah dipecahkan, supaya sumber hasil negeri dan potensi sumber manusia dapat dimanfaatkan, seterusnya kekayaan negara dinikmati bersama.

III. Menangani Isu Cabaran Sosial Masyarakat

Sejak dua menjak ini, banyak kejadian kes bunuh membabitkan mangsa dan suspek yang saling mengenali melalui hubungan kekeluargaan atau persahabatan, selain itu peningkatan kes bunuh diri dan culik kanak-kanak juga telah menambahkan kerisauan rakyat kita.

Institusi kekeluargaan hendaklah diperkasakan dengan mendidik ibu bapa nilai kepimpinan keluarga dan mengajar anak-anak dalam pemilihan rakan sebaya. Undang-undang ciptaan manusia yang rapuh dan tidak menggerunkan penjenayah juga faktor utama dalam kes-kes jenayah yang berlaku ini sehingga melampaui batas kemanusiaan.

Hanya undang-undang syariat Islam sahaja mampu menggerunkan hati penjenayah dan memberikan hak keadilan kepada mangsa.

IV. Menangani Isu Alam Sekitar dan Perubahan Iklim

Hasil daripada ketamakan manusia, dunia sekarang mengalami perubahan iklim yang sangat ekstrem iaitu banjir besar dan kemarau yang luar daripada kebiasaan. Perubahan iklim juga bakal mengganggu sumber air dan aktiviti pertanian.

Fenomena El-Nino dan musim kemarau serius dijangkakan bakal melanda Malaysia antara 2025 sehingga 2035. Ia menuntut semua pihak memikirkan kaedah dan strategi bagi menangani isu sumber air di masa hadapan. Hal ini kerana, negara bakal menghadapi cabaran besar dengan kebergantungan pada sumber air dari sungai, tasik dan air bawah tanah yang membawa kepada pengurangan ketersediaan air pada musim kemarau yang melampau.

Maka langkah mempelbagaikan kebergantungan kepada sumber air perlu diterokai dengan lebih luas, rakyat perlu diberikan pendidikan kelestarian alam sekitar yang menekankan konsep dosa dan pahala dalam mengurus alam sekitar.

Selain itu, kerajaan perlu bertindak tegas dalam menguatkuasakan undang-undang dengan menggubal atau meminda akta-akta berkaitan serta menambah baik sistem pemantauan melalui penambahan kakitangan dan penggunaan teknologi terkini.

G. STATE GOVERNMENT 4 (SG4): MODEL PEMBANGUNAN NEGERI

Dalam SG4 ini, apa yang menarik Kedah dan Perlis terletak di Pantai Barat, manakala Kelantan dan Terengganu di Pantai Timur. Walaupun kita terikat dengan konsep federalisme dan bidang kuasa negeri yang terhad, kita boleh memanfaatkan kedudukan negeri yang penting dari segi geografi. Di sebelah Pantai Timur, menghala ke arah Jepun, China dan lain-lain. Di Pantai Barat, menghala ke arah India dan negara-negara lain.

Kewujudan SG4 bukanlah bertujuan untuk bersaing dengan mana-mana negeri atau menjadi ancaman kepada sesiapa dalam negara kita di peringkat Persekutuan. Sebaliknya adalah bersifat pelengkap (complement) yang akan membantu menjayakan agenda nasional. Oleh itu, Kerajaan Persekutuan perlu menghormati konsep federalisme bagi membangunkan negeri-negeri ini secara adil dan saksama.

Kejayaan terkini daripada SG4, Terengganu berjaya meningkatkan hasil kutipan negeri yang lebih tinggi berbanding dengan pentadbiran sebelum ini. Dengan pengamalan pentadbiran yang cekap dan efisien, lebih banyak GLC dan Syarikat di Terengganu berjaya mencapai keuntungan yang berlipat kali ganda dan keluar daripada kerugian sejak bertahun-tahun.

Kejayaan Kelantan yang mampu bertahan sehingga menjadi model sebuah pentadbiran yang berintegriti, mesra masyarakat majmuk dan menjadi hab modal insan yang rabbani.

Dari segi ekonomi, Kelantan mencatat pertumbuhan yang stabil dengan fokus kepada sektor-sektor strategik seperti pertanian, industri kecil dan sederhana (IKS), serta pelancongan berasaskan alam semula jadi dan budaya. Pembangunan pusat-pusat keusahawanan di Kelantan menyediakan peluang kepada usahawan tempatan untuk berkembang, khususnya dalam sektor halal, makanan, dan kraf tangan.

Di Kedah, beberapa kejayaan besar berjaya dicapai pasca pandemik. Antaranya ialah kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) yang meningkat dengan begitu drastik dan telah mencatat rekod tertinggi dalam pelaburan diluluskan. Selain itu, Kedah turut memberi fokus kepada menyegerakan kelulusan tanah untuk diberikan geran hak milik kepada rakyat yang sudah lama memohon dan telah berjaya mencatatkan pemberian terbanyak bagi tempoh pentadbiran ini.

Dalam tempoh hampir dua tahun mentadbir Negeri Perlis, sedikit sebanyak berlaku perubahan terutama dalam meninggikan syiar Islam. Antaranya Kerajaan Negeri Perlis berjaya menghapuskan sepenuhnya aktiviti penjudian di Perlis dengan menghentikan sambungan kontrak kepada semua premis penjudian ini.

Insya-Allah fokus Kerajaan Negeri Perlis kepada pembinaan modal insan akan terus dilaksanakan seiring dengan pembangunan fizikal dan ekonomi sempadan yang semakin rancak khususnya di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping.

Difahamkan terdapat 5 kluster yang akan diberikan tumpuan, digerakkan melalui 10 agenda yang telah dirangka, iaitu;

  1. Menjalin hubung sistem pengangkutan dan logistik yang efisien. Contohnya, untuk Kelantan dan Terengganu menjadikan pembangunan berorientasikan transit (TOD) di Stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sektor Kelantan dan Terengganu agar saling berkait.
  2. Merangka persediaan aset dan tenaga sukarelawan sebagai mitigasi bencana dengan efektif secara bersama.
  3. Pengurusan prospek pelaburan yang bernilai tinggi dan mengutamakan industri hiliran, mengikut keutamaan (niche) negeri masing-masing.
  4. Perluasan pasaran perniagaan dan perdagangan yang saling melengkapkan dan mampu lebih berdaya saing.
  5. Pengeluaran komoditi makanan utama yang mencapai tahap sara diri dan berskala industri.
  6. Membangunkan rantaian nilai agro makanan yang lengkap.
  7. Saling membantu untuk memantapkan ekosistem pendidikan yang komprehensif dan masa depan.
  8. Ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berjati diri serta saling melengkapkan di antara satu sama lain.
  9. Pentadbiran yang cekap, berintegriti serta pengurusan kutipan hasil yang besar.
  10. Pengeksplorasian dan pengkomersialan sumber asli yang lestari dengan pembangunan industri dan penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Apa yang penting ialah SG4 ini hendaklah mengutamakan program-program yang dekat kepada rakyat dan menyelesaikan masalah rakyat, khususnya permasalahan kemiskinan dan peluang pekerjaan. Ini sangat penting. Kerajaan SG4 perlu ada perancangan untuk jangka masa pendek dan jangka masa panjang mengikut keutamaan (awlawiyat) yang perlu diselesaikan segera dan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

H. PERANAN JENTERA PARTI

Bagi meningkatkan kemaraan PAS menjadi parti terbesar memimpin negara, maka seluruh sayap dan jentera PAS khususnya Dewan Ulama’, Pemuda, Muslimat, Dewan Himpunan Pendukung PAS, bahkan Sidang Al-Sabiqun perlu diperkasakan bagi mempertahankan kemenangan yang dicapai dan menambahkan lagi kejayaan dalam menggerakkan rakyat untuk membuat perubahan kepada Islam sebagai penyelesaian.

I. Persiapan Pemuda dan Muslimat

Pemuda dan Muslimat hendaklah menyemarakkan aktiviti yang menyentuh cita rasa anak muda dan wanita, merentasi rentas politik dan kaum dengan pelbagai medan perhubungan, bagi mendekatkan kelompok terpenting ini kepada perjuangan Islam, seterusnya mendapat sokongan dalam pilihan raya.

Pada masa sama, Pemuda dan Muslimat hendaklah melahirkan lebih ramai ‘hero rakyat’ dan idola kepada anak muda, bagi memperjuangkan isu-isu rakyat dan menjadi pempengaruh kepada anak muda dan wanita muda yang semakin dinamik. Di sinilah perlumbaan sebenar bagi menghadapi PRU-16.

Oleh itu, pelapis kepimpinan pemuda dan muslimat muda hendaklah dijadikan agenda utama parti dan diberikan ruang kepada mereka sebagai persiapan untuk memimpin parti dan negara pada masa akan datang.

II. Persiapan Ulama’

Ulama’ pula mestilah berperanan untuk menyatukan ahli agama daripada pelbagai aliran pengajian dan fahaman. Perlu disedari perbezaan yang wujud dalam mazhab-mazhab adalah senjata utama musuh Islam untuk memecahkan kesatuan umat sehingga diapi-apikan dan akhirnya kekuasaan politik Islam dalam negara semakin terhakis dan dibiarkan.

Maka Dewan Ulama’ hendaklah melakukan muzakarah ilmiah secara dalaman dengan mengumpulkan para ulama’ dan ilmuwan bagi membahaskan sesuatu perkara dengan ilmu dan adab Islam. Kedua-dua kumpulan ini ialah ulu al-amr yang menjadi sasaran paling utama musuh Islam.

Tanggungjawab yang lebih besar dibahu ulama’ adalah menyedarkan masyarakat tentang Islam dan bahaya serangan pemikiran yang merosakkan jati diri seorang Muslim, termasuk kejahilan politik Islam dalam kalangan ulama’ sendiri.

III. Keterbukaan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP)

Peranan DHPP amat penting untuk meredah masuk ke dalam masyarakat bukan Islam yang menjadi sebahagian daripada masyarakat majmuk, secara lebih tersusun dan berimpak tinggi, antaranya melalui penglibatan dalam kerajaan negeri dan penonjolan tokoh dalam kalangan DHPP.

Sekiranya agenda DAP yang salah ideologinya dan ciptaan makhluk asing boleh diterima oleh pelbagai kaum dengan propagandanya, mengapa Islam yang adil kepada semua tidak boleh disampaikan kepada semua?

Maka, tugas kita untuk mengulangi sejarah bahawa Islam diterima menjadi penyelamat semua manusia, bukannya penjajah.

IV. Kecekapan Pentadbiran dan Organisasi

Peranan pentadbiran di peringkat pusat, negeri, kawasan dan cawangan ialah menjadi jentera parti yang cergas menguatkan parti, mempertahankan kemenangan yang telah dicapai dan menambah lagi wilayah kemenangan. Jangan hanya menjadi bebanan kerajaan negeri dan wakil-wakil rakyat sahaja.

PAS Kawasan dan Cawangan mesti terus berperanan dan bekerjasama dengan ahli Parlimen atau ADUN bagi memperkukuhkan pengaruh PAS di kawasan tersebut, dan hendaklah terlibat dalam perancangan program kebajikan. Wujudkan kerjasama yang baik antara Pusat Khidmat Wakil Rakyat dan Pejabat PAS Kawasan.

Pada masa sama, kesiap siagaan jentera pilihan raya dan penerangan parti di semua peringkat hendaklah di tahap maksima bagi menghadapi beberapa siri pilihan raya negeri (PRN) dan PRU-16 yang pastinya menuntut ketahanan dan pengorbanan yang tinggi, ke arah mencapai objektif dan strategi yang digariskan oleh parti.

V. Keaktifan Fungsi Lajnah

Semua lajnah perlu bersifat inklusif dan berkebajikan, seterusnya lebih aktif dalam penglibatan dengan segenap lapisan masyarakat, merentasi kaum dan fahaman politik, yang sangat besar pengaruhnya dalam sistem demokrasi dengan mencari pengaruh dalam kalangan badan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh masyarakat.

VI. Pendirian Antarabangsa

Al-Quran menjadi panduan apabila generasi awal terlibat dalam pergolakan antarabangsa dan pertarungan antara Parsi dengan Rom. Firman Allah SWT:

الٓمٓ ١ غُلِبَتِ ٱلرُّومُ ٢ فِيٓ أَدۡنَى ٱلۡأَرۡضِ وَهُم مِّنۢ بَعۡدِ غَلَبِهِمۡ سَيَغۡلِبُونَ ٣ فِي بِضۡعِ سِنِينَۗ لِلَّهِ ٱلۡأَمۡرُ مِن قَبۡلُ وَمِنۢ بَعۡدُۚ وَيَوۡمَئِذٖ يَفۡرَحُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٤ بِنَصۡرِ ٱللَّهِۚ يَنصُرُ مَن يَشَآءُۖ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلرَّحِيمُ ٥

“Alif Lam Mim. (1) Telah dikalahkan bangsa Rom. (2) Di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan itu akan beroleh kemenangan. (3) Dalam tempoh masa beberapa tahun lagi. Bagi Allah jua segala urusan sebelum dan sesudah (kemenangan Rom). Dan pada hari (kemenangan bangsa Rom) itu, bergembiralah orang-orang yang beriman. (4) Kerana pertolongan Allah. Dia menolong sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Dialah Maha Perkasa lagi Maha Penyayang. (5)” [Surah al-Rum: 1-5]

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berucap dalam sebuah persidangan bersama pihak Kongres dan Senat Amerika Syarikat, menunjukkan blok dunia kini berpecah kepada tiga kumpulan; Negara yang berada di bawah payung Zionis, negara yang anti-Zionis dan negara Islam yang munafiq. Al-Quran telah menegaskan taraf permusuhan terhadap Islam:

۞لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ ٱلنَّاسِ عَدَٰوَةٗ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلۡيَهُودَ وَٱلَّذِينَ أَشۡرَكُواْۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقۡرَبَهُم مَّوَدَّةٗ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ قَالُوٓاْ إِنَّا نَصَٰرَىٰۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنۡهُمۡ قِسِّيسِينَ وَرُهۡبَانٗا وَأَنَّهُمۡ لَا يَسۡتَكۡبِرُونَ ٨٢

“Sesungguhnya, kamu akan mendapati orang-orang yang paling keras sekali permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang Musyrik. Dan sesungguhnya, kamu akan mendapati orang yang paling dekat sekali persahabatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata, ‘Sesungguhnya, kami ini orang Nasrani.’ Yang demikian itu, disebabkan kerana antara mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat pendeta-pendeta dan rahib-rahib, (juga) kerana sesungguhnya mereka tidak menyombongkan diri.” [Surah al-Ma’idah: 82]

Pencerobohan paling melampau oleh negara haram Zionis Israel terhadap Palestin, khususnya di Gaza, telah membelahbahagikan negara dunia kepada musuh, munafiq dan kawan. Ini adalah penentu sikap PAS dalam isu antarabangsa.

Pada masa sama, misi kemanusiaan dan bantuan kebajikan merentasi sempadan akan terus digerakkan melalui peranan PAS Relief, rakan-rakan NGO dan dermawan budiman.

I. PERPADUAN UMMAH: KETERBUKAAN PAS

Bagi menunaikan agenda politik Islam yang berpandukan hidayah, berhikmah, matang dan sejahtera, PAS tetap berpandukan al-Quran dan Sunnah, serta ijtihad melalui pengalamannya dengan memilih pendekatan demokrasi damai dan perpaduan umat.

PAS akan terus beristiqamah mengenali kalangan yang ikhlas menerima Islam adalah penyelesaian dan menolak kalangan yang telunjuknya lurus tetapi kelengkengnya berkait.

Bahkan, PAS tetap berdiri teguh mempertahankan Perikatan Nasional (PN) dan menghidupkan Muafakat Nasional (MN) yang sebenar, dan tidak sesekali berhasrat untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) dalam apa jua bentuk.

PAS memilih perpaduan umat Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem, iaitu kalangan yang tidak menghalang bahawa Islam adalah penyelesaian kepada semua masalah dan penyelamat manusia yang berwawasan dunia sehingga akhirat, serta mewajibkan Islam memimpin.

Ini bagi menjamin ‘keindukan’ Islam dan Melayu kekal terpelihara di tanah air tercinta ini.

Sila pungut buah salak,
Dikupas kulit isi ditelan,
Biar anjing terus menyalak,
Langkah kita terus berjalan.

J. PENUTUP

Akhirnya, saya mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada Panitia Muktamar yang dikendalikan oleh pasukan Setiausaha Agung dan Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang selaku tuan rumah, termasuklah kejayaan melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan-Kawasan, Dewan-Dewan dan Cawangan-Cawangan.

Marilah kita memperkukuhkan saf perjuangan dengan agenda tarbiah yang dilaksanakan di setiap peringkat, seterusnya kita melebarkan pengaruh parti dan kepimpinan dalam masyarakat dengan agenda dakwah dan politik. Semoga segala usaha ini diterima oleh Allah sebagai amal yang soleh.

Mari mengukur apa yang lalu,
Jangan menjadi orang yang latah,
Mari kita membujur lalu,
Semua yang melintang wajib dipatah.

Dengan ini, saya merasmikan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 dengan menyebut sabda Rasulullah SAW:

سيروا على بركة الله،
الله أكبر! الله أكبر! الله أكبر! ولله الحمد.

“ISLAM ADALAH PENYELESAIAN”

ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN PAS
1446H / 2024M – HARAKAHDAILY 14/9/2024

Sumber: Harakah Daily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️