Minda PresidenPresiden

KK LIQA’ FIKRI PAS PUSAT 2023 – PERANAN KAUM MENEGAKKAN ISLAM

KERTAS KERJA
LIQA’ FIKRI PAS PUSAT 2023

“PERANAN KAUM MENEGAKKAN ISLAM”

OLEH:
YB TAN SRI DATO’ SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG
Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

1.0 PENDAHULUAN

Islam ialah agama yang sempurna, menyeluruh, dan bersifat sejagat kepada seluruh alam serta seluruh manusia. Adapun al-Quran ialah petunjuk Allah SWT dan para rasul menunjukkan teladan bagi melaksanakannya.

Apabila seseorang itu menganut Islam dengan ikrar dua kalimah syahadah, maka wujud ikatan yang tidak boleh dirungkaikan lagi, kerana perjanjiannya dengan Allah SWT yang menjadi aqidah tidak boleh dikhianati hingga akhir hayat. Malah, ia tidak boleh disamakan dengan menganut ideologi dan agama lain yang tidak beraqidah.

Aqidah ini menjadi suatu perjuangan yang dilakukan oleh para rasul yang dilantik oleh Allah SWT kepada kaum dan bangsanya pada zaman masing-masing. Kerasulan yang berakhir dengan pengutusan Nabi Muhammad SAW kepada seluruh manusia pada akhir zaman. Firman Allah SWT:


﴿وَلَقَدۡ بَعَثۡنَا فِي كُلِّ أُمَّةٖ رَّسُولًا أَنِ ٱعۡبُدُواْ ٱللّهَ وَٱجۡتَنِبُواْ ٱلطَّـٰغُوتَ ۖفَمِنۡهُم مَّنۡ هَدَى ٱللَّهُ وَمِنۡهُم مَّنۡ حَقَّتۡ عَلَيۡهِ ٱلضَّلَٰلَةُۚ فَسِيرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَٱنظُرُواْ كَيۡفَ كَانَ عَٰقِبَةُ ٱلۡمُكَذِّبِينَ٣٦﴾

“Dan sesungguhnya, Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka), ‘Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut.’ Maka, antara mereka (yang menerima seruan rasul itu), ada yang diberikan hidayah petunjuk oleh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu, mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan rasul-rasul-Nya.” (Surah al-Nahl: 36)

Kewujudan berbagai-bagai bangsa atau kaum ialah fitrah manusia ciptaan Allah. Perkara ini menunjukkan manusia ialah satu masyarakat yang besar bagi menjalankan kewajipan di atas muka bumi di alam dunia sebelum dihisab pada Hari Kiamat kelak. Firman Allah:


﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ١٣﴾

“Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya, Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki (Adam AS) dan seorang perempuan (Hawwa’ AS); dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali (bermasyarakat). Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah al-Hujurat: 13)

Firman Allah SWT juga:


﴿وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦ خَلۡقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفُ أَلۡسِنَتِكُمۡ وَأَلۡوَٰنِكُمۡۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّلۡعَٰلِمِينَ٢٢﴾

“Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan kebijaksanaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya, yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan.” (Surah al-Rum: 22)

Maka, kita perlu jelas mengenai perbezaan antara semangat kebangsaan yang dijadikan ideologi dengan konsep kebangsaan yang menjadi fitrah manusia mengikut ketetapan Allah SWT dan peranannya dalam melaksanakan kehidupan bermasyarakat.

Kita juga perlu melihat keperluan untuk bersatu bagi menunaikan kewajipan agama, bangsa, dan negara bersama Islam, selain kewajipan perpaduan kaum Melayu Islam yang menjadi majoriti penduduk asal Malaysia dan majoriti daripada keseluruhan masyarakat majmuk.

2.0 DAKWAH PARA RASUL KEPADA KAUM MASING-MASING

Allah SWT menetapkan peranan kaum ialah suatu perkara yang sangat penting, kerana ia menjadi tonggak perjuangan para rasul AS sama ada secara individu ataupun berjemaah, walaupun secara prinsip dan dasarnya, Islam ialah agama kepada semua manusia. Khususnya, peranan kaum dalam menegakkan kuasa politik yang menjadi penaung yang wajib kepada dakwah Islam dan menjadi syarat agar Islam dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Setiap rasul memulakan dakwah masing-masing kepada keluarga dan kaumnya, termasuk nabi akhir zaman, Nabi Muhammad SAW yang diutus kepada seluruh manusia. Perkara ini bukanlah sikap rasis atau fanatik kaum yang telah disalahfahami selama ini, sebaliknya menjadi rukun kepada uslub (pendekatan) dalam menegakkan Islam mengikut prinsip dakwah dan siasah syar‘iyyah yang melaksanakan konsep adil kepada seluruh manusia. Hal ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:


﴿وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمۡۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِي مَن يَشَآءُۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ٤﴾

“Kami tidak mengutus seorang rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya dia dapat memberikan suatu penjelasan secara jelas dan terang kepada mereka. Maka, Allah menyesatkan sesiapa yang Dia kehendaki, dan memberikan petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Dialah Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Ibrahim: 4)

Al-Quran menceritakan setiap orang rasul berdakwah kepada kaumnya terlebih dahulu dengan menyebutkan dalam ucapan mereka sebagaimana yang banyak kali disebutkan oleh firman Allah SWT, antaranya:


﴿…يَٰقَوۡمِ…٥٤﴾

“…Wahai kaumku…” (Surah al-Baqarah: 54)

Allah SWT berfirman kepada Rasulullah SAW:


﴿وَأَنذِرۡ عَشِيرَتَكَ ٱلۡأَقۡرَبِينَ٢١٤﴾

“Dan berikanlah peringatan kepada kaum kerabatmu yang terdekat.” (Surah al-Shu‘ara’: 214)

Rasulullah SAW juga berdoa sepertimana doa para rasul yang terdahulu:


اللَّهُمَّ ‌اهْدِ ‌قَوْمِي ‌فَإِنَّهُمْ ‌لَا ‌يَعْلَمُونَ.

“Wahai Allah, ya Tuhanku! Berikanlah hidayah kepada kaumku, sebenarnya mereka tidak mengerti.” (Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, Jld. 6, Hlm. 507)

Allah SWT menyebut suatu contoh melalui kisah Nabi Syu‘aib AS, firman-Nya:


﴿قَالُواْ يَٰشُعَيۡبُ مَا نَفۡقَهُ كَثِيرٗا مِّمَّا تَقُولُ وَإِنَّا لَنَرَىٰكَ فِينَا ضَعِيفٗاۖ وَلَوۡلَا رَهۡطُكَ لَرَجَمۡنَٰكَۖ وَمَآ أَنتَ عَلَيۡنَا بِعَزِيزٖ٩١ قَالَ يَٰقَوۡمِ أَرَهۡطِيٓ أَعَزُّ عَلَيۡكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَٱتَّخَذۡتُمُوهُ وَرَآءَكُمۡ ظِهۡرِيًّاۖ إِنَّ رَبِّي بِمَا تَعۡمَلُونَ مُحِيطٞ٩٢﴾

“Mereka berkata, ‘Wahai Syu‘aib! Kami tidak banyak mengerti tentang apa yang kamu katakan itu, dan sesungguhnya, kami benar-benar melihat kamu seorang yang lemah antara kami; kalau tidaklah kerana keluargamu, tentulah kami telah merejam kamu, sedang kamu pun bukanlah seorang yang berwibawa di sisi kami.’ (91) Syu‘aib menjawab, ‘Wahai kaumku! Apakah keluargaku lebih kamu takuti menurut pandangan kamu daripada takut akan Allah, sedang (perintah) Allah pula kamu jadikan sesuatu yang terbuang di belakang kamu? Sesungguhnya, (pengetahuan) Tuhanku meliputi apa yang kamu kerjakan.’ (92)” (Surah Hud: 91-92)

Diambil juga iktibar daripada kisah Nabi Lut AS yang telah dilantik menjadi rasul kepada kaum dalam keadaan tiada seorang pun dalam kalangan ahli keluarga bersamanya, apabila Baginda AS dikepung oleh kaum yang menentangnya. Allah SWT berfirman:


﴿قَالَ لَوۡ أَنَّ لِي بِكُمۡ قُوَّةً أَوۡ ءَاوِيٓ إِلَىٰ رُكۡنٖ شَدِيدٖ٨٠﴾

“Lut berkata, ‘Seandainya, aku mempunyai kekuatan (untuk menolak kamu) atau kalau aku dapat berlindung kepada keluarga yang kuat (tentu aku akan lakukan).’” (Surah Hud: 80)

Rasulullah SAW bersabda dalam mentafsirkan ayat ini:


‌رَحْمَةُ ‌اللَّهِ ‌عَلَى ‌لُوطٍ، ‌لَقَدْ ‌كَانَ ‌يَأْوِي ‌إِلَى ‌رُكْنٍ ‌شَدِيدٍ -يَعْنِي: اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ- فَمَا بَعَثَ اللَّهُ بَعْدَهُ مِنْ نَبِيٍّ إِلَّا فِي ثَرْوَةٍ مِنْ قَوْمِهِ.

“Rahmat Allah kepada Lut, sebenarnya Baginda dilindungi kepada kekuatan, yakni Allah ‘Azza wa Jalla. Maka, Allah tidak lagi melantik nabi selepasnya melainkan berada di tengah-tengah kaumnya yang menjadi tonggak (penting bagi melindunginya).” (Riwayat al-Tirmizi, No. 3116 / Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, Jld. 4, Hlm. 291)

3.0 RASULULLAH SAW TELADAN PERPADUAN UMAT

Rasulullah SAW ditugaskan menjadi rasul akhir zaman kepada seluruh manusia, bahkan diamanahkan suatu tugas yang paling besar dan sangat mencabar. Baginda SAW diwajibkan berdakwah di tengah-tengah masyarakat seluruh dunia dan dikepung oleh bangsa Arab padang pasir yang paling keras dan kejam berperang, sehingga sanggup membunuh anak perempuan mereka kerana dianggap menyusahkan.

Berita kedatangan Baginda SAW disebut dalam semua kitab suci agama Samawi dan bukan Samawi. Kedatangannya bertepatan dengan ilmu Allah SWT yang dikurniakan kepada manusia, dalam suasana dunia akhir zaman yang paling mencabar keruntuhan sifat kemanusiaan dan yang paling sombong sehingga mencabar Allah yang Maha Esa. Malah, ada dalam kalangan mereka yang lebih hina daripada binatang.

Kurniaan sedikit ilmu Allah SWT kepada manusia telah menyebabkan mereka berjaya mencapai kemajuan dari sudut teknologi dan perhubungan dalam kalangan manusia dengan cepat dan luas. Sehinggakan, muka bumi yang luas dan jauh jaraknya di antara negara menjadikan masyarakat seluruh manusia umpama satu keluarga di dalam satu alam dunia. Hal ini menepati firman Allah SWT:


﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡهُمَا رِجَالٗا كَثِيرٗا وَنِسَآءٗۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا١﴾

“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu daripada seorang diri (Adam), dan daripadanya Allah menciptakan isterinya (Hawwa’); dan daripada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya, Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (Surah al-Nisa’: 1)

Rasulullah SAW memulakan tugasnya menyampaikan Islam bermula dengan kaum dan bangsa yang berpecah belah mengikut keluarga dan suku kabilah. Dakwah dimulakan kepada keluarga yang terdekat dan menyatukan bangsa Arab yang berpecah belah bersama Islam. Firman Allah SWT:


﴿وَأَنذِرۡ عَشِيرَتَكَ ٱلۡأَقۡرَبِينَ٢١٤﴾

“Dan berikanlah peringatan kepada kaum kerabatmu yang terdekat.” (Surah al-Shu‘ara’: 214)

Baginda SAW mengumpulkan anggota keluarga terdekat, lalu diajak untuk memeluk Islam. Ada sebahagiannya masuk Islam, namun ada juga yang tidak mahu masuk Islam tetapi mempertahankannya dengan semangat fanatik kekeluargaan. Hanya segelintir sahaja daripada kalangan keluarga yang menentang dakwah Islam.

Rasulullah SAW berdakwah secara terbuka kepada kaum Quraisy yang merupakan kabilah Arab yang paling besar pengaruhnya dalam kalangan bangsa Arab. Hanya sebahagian sahaja yang menerima Islam, disebabkan ramai yang merasa takut untuk menghadapi pemimpin Makkah yang zalim dan menentang sekeras-kerasnya kerana dianggap telah mencabar kedudukan dan pengaruh mereka.

Sebahagian masyarakat Makkah percaya kepada benarnya Islam dan ketinggian akhlak keperibadian Rasulullah SAW, tetapi mempunyai kebimbangan terhadap pengaruh jahiliah di seluruh dunia. Firman Allah SWT:


﴿وَقَالُوٓاْ إِن نَّتَّبِعِ ٱلۡهُدَىٰ مَعَكَ نُتَخَطَّفۡ مِنۡ أَرۡضِنَآۚ أَوَ لَمۡ نُمَكِّن لَّهُمۡ حَرَمًا ءَامِنٗا يُجۡبَىٰٓ إِلَيۡهِ ثَمَرَٰتُ كُلِّ شَيۡءٖ رِّزۡقٗا مِّن لَّدُنَّا وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ٥٧﴾

“Dan mereka berkata, ‘Jika kami mengikuti petunjuk bersama kamu, nescaya kami dengan serta-merta akan diusir dari negeri kami.’ Dan apakah Kami (Allah) tidak meneguhkan kedudukan mereka di dalam daerah haram (tanah suci Makkah) yang aman, yang didatangkan ke tempat itu buah-buahan daripada segala macam (tumbuh-tumbuhan) untuk menjadi rezeki (bagi kamu) daripada sisi Kami? Akan tetapi, kebanyakan mereka tidak mengetahui.” (Surah al-Qasas: 57)

Mereka mencadangkan Rasulullah SAW agar ditabalkan menjadi raja atau pemimpin tanpa Islam dapat berkuasa. Walau bagaimanapun, cadangan tersebut ditolak kerana janji Allah SWT melalui firman-Nya:


﴿ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمْ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ٤١﴾

“(Iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata, ‘Tuhan kami hanyalah Allah.’ Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja dan rumah-rumah ibadat orang Yahudi, serta masjid-masjid yang sentiasa disebutkan nama Allah banyak-banyak di dalamnya. Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (40) (Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf, dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah jua kembali segala urusan. (41)” (Surah al-Hajj: 40-41)

Allah SWT menegaskan janji-Nya terhadap kemenangan Islam yang dapat berkuasa memerintah negara masyarakat majmuk dengan melaksanakan prinsip serta konsep yang teguh dan sempurna.

Seterusnya, Rasulullah SAW berdakwah kepada para pemimpin kabilah Arab yang datang pada musim haji dalam himpunan tahunan yang menjadi ibadat dan adat. Setelah itu, seruan Islam diterima oleh suku kabilah Aus dan Khazraj yang tinggal di Madinah, kerana merasakan bahawa Islam boleh mendamaikan mereka yang telah berperang dalam tempoh masa yang sangat panjang. Mereka sedia menerima kedatangan Islam bagi menegakkan negara dan sedia mempertahankannya untuk menyampaikan risalah ke seluruh dunia.

Oleh itu, dengan perintah Allah SWT, Rasulullah SAW mengarahkan kabilah Quraisy yang telah memeluk Islam di Makkah, sama ada dalam kalangan kabilah ataupun individu yang lain supaya berhijrah ke Madinah. Kemudian, mereka dipersaudarakan dengan konsep persaudaraan Islam. Firman Allah SWT:


﴿إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٞ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ١٠﴾

“Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Oleh sebab itu, damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua-dua saudaramu itu, dan takutlah terhadap Allah supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah al-Hujurat: 10)

Maka, bangsa Arab jahiliah yang keras berpecah belah dan berperang dengan ganas telah berjaya dijinakkan. Mereka yang berpecah belah mengikut keluarga dan kabilah, dapat disatukan berprinsipkan iman dan berkonsepkan persaudaraan Islam.

Hal ini sekali gus melahirkan para pemimpin yang beraqidah atau beriman, berilmu, dan berakhlak, berbeza dengan ideologi yang tidak mempunyai aspek aqidah. Maka, Islam mewajibkan seseorang pemimpin itu beraqidah, berilmu, dan berakhlak bagi memimpin masyarakat majmuk dengan menegakkan konsep adil kepada semua, di samping berlakunya ketaatan yang ikhlas dan bersatu walaupun banyak berlaku perbezaan dalam masyarakat majmuk.

Justeru, memilih pemimpin ialah amanah wajib yang paling besar. Firman Allah SWT:


﴿إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا٥٨ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا٥٩﴾

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia hendaklah kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. (58) Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul, serta Ulil Amri (ulama’ dan umara’) antara kamu. Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Hal yang demikian itu lebih utama (bagi kamu) dan lebih baik akibatnya. (59)” (Surah al-Nisa’: 58–59)

Syarat iman dan Islam adalah diwajibkan kepada para ulama’ yang memimpin ilmu dan para umara’ yang memimpin kerajaan bagi melaksanakan ilmu. Kedua-duanya dikawal oleh aqidah atau iman yang tidak terdapat dalam ideologi dan teori ciptaan manusia. Pemimpin yang ada bersamanya ialah kekuatan bangsa yang beriman.

4.0 PERPADUAN UMAT ISLAM BERSAMA BUKAN ISLAM YANG TIDAK EKSTREM

Setelah berjaya mewujudkan perpaduan bangsa Arab yang beriman, maka diajak pula kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem untuk bersama. Hal ini dinyatakan dengan tegas dalam Piagam Madinah yang disertai oleh kaum Yahudi dan Kristian:


وَإِنَّهُ مَا كَانَ بَيْنَ أَهْلِ هَذِهِ الصَّحِيفَةِ مِنْ حَدَثٍ أَوِ اشْتِجَارٍ يُخَافُ فَسَادُهُ، ‌فَإِنَّ ‌مَرَدَّهُ ‌إِلَى ‌اللَّهِ وَإِلَى مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

“Dan bahawa sesungguhnya, apa-apa perkara yang menjadi pertelingkahan dalam kalangan para ahli yang memeteraikan piagam ini daripada apa jua perkara yang berlaku dan pertelingkahan yang ditakuti akan merosakkannya, maka hendaklah ia dirujuk kepada Allah (al-Quran) dan Nabi Muhammad SAW (Sunnah).” (Ibn Hisyam, al-Sirah al-Nabawiyyah, Jld. 1, Hlm. 504)

Banyak teori perpaduan yang disebutkan hanya berlandaskan aspek lahiriah sahaja seperti politik, ekonomi, keturunan, atau sempadan wilayah semata-mata. Tanpa menafikan semuanya juga menjadi sebab, tetapi masih tidak sempurna dan mencukupi. Semua perkara itu tetap tidak mampu menyatukan hati manusia. Allah SWT berfirman:


﴿لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٞ٦٣﴾

“Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak akan dapat mempersatukan hati mereka. Akan tetapi, Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya, Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Anfal: 63)

Perpaduan mengikut acuan Allah SWT menghasilkan hidayah-Nya yang menguasai hati. Inilah yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW melalui pemerintahan Islam yang sempurna.

Apabila kaum Yahudi dengki terhadap Islam dan penganutnya, mereka berjaya mengadu domba dan mencetuskan semula perpecahan dalam kalangan Aus dan Khazraj yang menjadi tonggak penting setelah mereka disatukan oleh Islam. Lalu Allah SWT mewahyukan firman-Nya yang diucapkan oleh Rasulullah SAW:


﴿وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ١٠٣﴾

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai; dan ingatlah akan ni‘mat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) saling bermusuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana ni‘mat Allah itu orang-orang yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu ayat-ayat-Nya, agar kamu mendapat petunjuk.” (Surah Ali ‘Imran: 103)

Seterusnya, Baginda SAW berucap:


أَبِدَعْوَى الْجَاهِلِيَّةِ وَأَنَا بَيْنَ أَظْهُرِكُمْ؟

“Adakah kamu mahu berperang kembali ke zaman jahiliah pula dalam keadaan aku masih hidup bersama kamu?” (Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, Jld. 2, Hlm. 78)

Rasulullah SAW turut berkhutbah dalam wasiatnya ketika menunaikan Haji Wada‘ (haji selamat tinggal), “Janganlah sekali-kali kamu berpecah dan berperang pula selepas aku meninggal dunia.”

Iman yang teguh ditanam dalam diri para sahabat melalui pelaksanaan tarbiah nabawiah menjadikan mereka kembali ke pangkal jalan.

Oleh sebab itu, pada masa selepas kewafatan Rasulullah SAW, Abu Bakar RA berjaya menyelesaikan masalah kekhilafan pelantikan khalifah dengan berhujahkan hadis Rasulullah SAW yang bersabda:


الْأَئِمَّةُ ‌مِنْ ‌قُرَيْشٍ.

“Pemimpin itu mestilah daripada kalangan Quraisy.” (Riwayat Ahmad, No. 12900 dan lain-lain riwayat)

Pelantikan ketua negara generasi awal Islam adalah dalam kalangan Quraisy, iaitu kabilah Arab yang terkuat pada masa itu. Inilah pandangan mazhab Ahli Sunnah. Adapun pendapat tanpa dominasi kaum merupakan pandangan mazhab Khawarij dan kalangan Mu‘tazilah yang lemah. Sila rujuk kitab-kitab seperti al-Ahkam al-Sultaniyyah oleh Imam al-Mawardi RH, al-Muqaddimah oleh Ibn Khaldun RH, kitab-kitab tafsir, dan syarah hadis yang pelbagai.

Perpaduan umat Islam yang istiqamah telah berjaya memimpin manusia, kemudian diajak penyertaan bukan Islam yang tidak ekstrem bersama perpaduan kemanusiaan sejagat. Sehinggakan, Islam berjaya memimpin negara besar selama 14 abad lamanya.

Islam pada awalnya dipimpin oleh bangsa Arab yang bersatu bersama Islam, seterusnya dipanjangkan oleh Rasulullah SAW dengan menghantar surat rasmi kepada raja-raja dan pemerintah dunia, khususnya kuasa besar dunia Parsi dan Rom. Pada awalnya, mereka menentang tetapi semuanya tumbang selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Berbagai-bagai bangsa secara berduyun-duyun menganut Islam dan secara bergilir-gilir setiap bangsa menjadi pemimpin, tidak terikat dengan bangsa Arab sahaja. Sehinggakan, tamadun Islam yang hebat berjaya dicapai dalam segala lapangan ilmu yang menghasilkan kemajuan terkini, malah ditumpang sama oleh kaum lain tanpa menganut Islam dan tidak membawa kemusnahan.

5.0 KEPIMPINAN UMAT OLEH SESUATU BANGSA BOLEH BERSILIH GANTI

Bangsa yang memimpin negara boleh berubah dan tidak tetap, boleh digantikan kepada pihak lain yang bersama Islam. Allah SWT memberikan amaran kepada bangsa Arab setelah mereka meninggalkan peranan terhadap Islam, firman Allah:


﴿…وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم٣٨﴾

“…Dan jika kamu berpaling, nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.” (Surah Muhammad: 38)

Allah SWT menukarkan kaum Arab kepada kaum lain yang bukan berbangsa Arab, menganut Islam, dan kuat pengaruhnya atau mendominasi penduduknya menjadi pemimpin negara. Sehinggakan, kepimpinan umat Islam pernah dipegang oleh kaum Kurdi, Turki, dan lain-lain.

Apabila kuasa Islam dihilangkan oleh golongan bukan Islam pula, menyebabkan berlaku keadaan yang menyeksa penganut Islam yang telah mengkhianati amanah Islam. Firman Allah SWT:


﴿إِلَّا تَنفِرُواْ يُعَذِّبۡكُمۡ عَذَابًا أَلِيمٗا وَيَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيْـًٔا ۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ٣٩﴾

“Jika kamu tidak berangkat untuk berjuang, nescaya Allah akan menyeksa kamu dengan seksaan yang pedih dan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberikan kemudaratan sedikit pun kepada-Nya. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah al-Tawbah: 39)

Berlaku dalam sejarah apabila umat Islam dijajah oleh bukan Islam. Maka, keadaan itu telah menyeksa umat Islam di dunia sebelum akhirat.

Pemerintahan Islam dirampas kuasanya oleh bukan Islam seperti yang berlaku di Andalus (Sepanyol) yang lenyap kerajaannya disebabkan perpecahan dalam kalangan raja-raja wilayah, sehingga menyebabkan berlakunya perang saudara dan akhirnya ditakluki oleh bukan Islam.

Seterusnya, umat Islam diseksa dan dipaksa murtad, sama ada dibunuh ataupun meninggalkan tanah air dalam keadaan hina sehingga sekarang dalam masa beberapa abad lamanya. Perkara yang sama juga berlaku di Filipina, Champa (Kemboja), dan di negeri terdekat iaitu Singapura.

Berlaku di Palestin di dalam kawasan negeri Arab yang dirampas oleh Yahudi Zionis yang datang beramai-ramai dan membeli tanah yang mahal setelah diletakkan harganya dengan harta kekayaan. Hal ini berlaku akibat bangsa Arab berpecah belah kerana mereka telah meninggalkan kuasa politik bersama Islam dalam menegakkan negaranya.

6.0 PERANAN MELAYU ISLAM UNTUK MEMIMPIN BERSAMA ISLAM

Justeru, dalam lapangan Malaysia, peranan kaum Melayu bersama Islam sehingga tidak berpisah antara Melayu dengan Islam, menjadi suatu konsep masyarakat Melayu yang mudah menerima Islam. Pada masa yang sama, menjadikan Melayu tidak bersifat perkauman seperti yang telah disalah anggap, sehingga membenarkan kaum dan penganut agama lain hidup bersama walaupun diatur oleh penjajah terdahulu.

Kaum Melayu dipermainkan dan ditipu secara terang-terangan dalam kejahilan serta kelalaian mereka. Mangsa kejahilan tersalah langkah politik, menghidapi penyakit rasuah, mengalami keruntuhan moral, dan lain-lain penyakit dalam keadaan mereka berpecah dalam perkara cabang agama, fahaman politik, serta perebutan pangkat dan harta.

Kita perlu menyedari bahawa kaum Melayu yang beragama Islam dengan jumlahnya yang besar ini tidak berperanan dalam memimpin bersama Islam, disebabkan buta agama dan jahil politik lalu berpecah belah. Manakala golongan bukan Islam pula yang masih tidak menerima Islam bersatu, dan kini mereka berusaha untuk mendapat kuasa politik perkauman tanpa Islam dalam keadaan mereka bersatu.

Mereka memilih calon daripada kalangan bangsa mereka tanpa mengira fahaman politik. DAP yang menutup wajah perkaumannya berjaya mendapat sokongan besar majoriti kaum Cina dan sedang mendominasi Pakatan Harapan (PH), dalam kerajaan yang dinamakan perpaduan bersama Melayu yang telah meninggalkan fitrah kaum dengan alasan menolak rasis. Adapun kalangan bukan Islam tetap menjaga fitrah kaum mereka, walaupun cuba dinafikan dengan berhelah dan menipu.

Kaum Melayu Islam berpecah belah kerana masalah furu‘ (cabang), perbezaan fahaman politik, ataupun tidak mengundi kerana benci akan politik atau menganggap bahawa politik itu tidak penting.

Sedangkan golongan bukan Islam pula tetap bersatu demi bangsa masing-masing tanpa mengira fahaman politik yang sedang berlaku sekarang. Maka, parti kaumnya menang tanpa Islam, sehingga dapat mengalahkan Melayu yang berpecah kaumnya dan menyokong sesiapa sahaja.

Oleh sebab itu, kuasa politik Melayu boleh hilang kerana perpecahannya sehingga jatuh ke tangan bukan Melayu dan bukan Islam dalam pilihan raya sahaja. Bangsa Melayu akan menerima seksa yang hina dalam kehidupan dunia dan mereka sangat berdosa apabila menghilangkan politik Islam.

Kita pernah mengalami penyeksaan sewaktu zaman penjajahan dalam keadaan raja-raja berpecah belah dan berperang saudara. Walaupun selepas itu raja dikekalkan oleh penjajah, tanpa kuasa politik dinobatkan, maka mereka hanya menjadi ketua agama yang dipisahkan politiknya, dalam keadaan agama tidak mempunyai pelindung kepada pelaksanaan Islam.

Raja pada masa itu laksana tunggul yang mati apabila hilangnya kuasa politik kaumnya yang beragama Islam, malah dijadikan perisai manusia oleh kalangan penjajah bagi menghapuskan pejuang-pejuang kemerdekaan yang menentang penjajah.

Imam al-Ghazali RH pernah menegaskan dalam kitab karangannya:


‌الدِّينُ ‌أُسٌّ ‌وَالسُّلْطَانُ ‌حَارِسٌ وَمَا لَا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ.

“Agama itu asas, sedangkan sultan (politik Islam berkuasa) itu menjadi pengawas. Apa yang tiada asasnya, maka akan runtuh binasa; dan apa yang tiada pengawasnya, maka akan hilang.” (Al-Ghazali, al-Iqtisad fi al-I‘tiqad, Hlm. 128)

Berlaku amaran akan hilangnya hukum Islam sebagaimana amaran Rasulullah SAW:


‌لَتُنْقَضَنَّ ‌عُرَى ‌الْإِسْلَامِ ‌عُرْوَةً ‌عُرْوَةً، فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا، وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلَاةُ.

“Demi sesungguhnya, akan diungkai (dirombak) ikatan ajaran Islam (yang teguh) satu demi satu. Maka, apabila setiap satu ikatannya diungkai, ia menjadikan para penganut Islam berpegang dengan simpulan berikutnya. Simpulan pertama yang diungkai ialah (pelaksanaan) hukum dan simpulan terakhir yang diungkai ialah (pelaksanaan) solat.” (Riwayat Ahmad, No. 22160, Ibn Hibban, No. 6715, dan lain-lain riwayat)

7.0 MELAYU ISLAM WAJIB BERSATU PADU BERSAMA ISLAM

Maka, perpaduan bangsa Melayu yang menjadi tonggak Islam di dalam negara ini wajib dilaksanakan bagi mengukuhkan kekuatan Islam yang sangat penting. Allah SWT memberikan amaran kepada generasi awal dalam al-Quran yang menjadi mukjizat ilmu yang berkekalan sepanjang zaman. Firman-Nya:


﴿وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَٰزَعُواْ فَتَفۡشَلُواْ وَتَذۡهَبَ رِيحُكُمۡۖ وَٱصۡبِرُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ٤٦﴾

“Dan taatilah Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu saling berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu serta bersabarlah. Sesungguhnya, Allah berserta orang-orang yang sabar.” (Surah al-Anfal: 46)

Walaupun sebabnya yang awal ditujukan kepada bangsa Arab dalam kalangan generasi awal umat Islam, petunjuk mukjizat itu kekal ditujukan kepada umat Islam dan semua kaum yang diamanahkan mempertahankan Islam sepanjang zaman.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kita menyaksikan Perikatan Nasional (PN) mendapat sokongan majoriti Melayu yang masih tidak mencukupi, maka PH yang menjadi gabungan terbesar dengan dominasi DAP berjaya mendapat sokongan Melayu yang berpecah belah. Keadaan ini berlaku apabila ada kelompok yang tidak keluar mengundi kerana jahil agama dalam kewajipan politik, di samping kumpulan Melayu yang berpegang kepada matlamat menghalalkan cara kerana mengejar pangkat dan harta semata-mata.

UMNO pula dalam keadaan yang sangat lemah kerana diresapi penyakit kebendaan yang menjadi perjuangannya, berlaku politik wang, dan penyakit rasuah. Adapun sebahagian daripada mereka yang setia kepada perjuangan bagi menegakkan agama, bangsa, dan negara pula tidak mampu melakukan apa-apa perubahan sehingga menyebabkan mereka berpecah pula. Sebahagiannya sedia bersama DAP yang ekstrem terhadap Islam, Melayu, dan tanpa peduli terhadap Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun DAP menyatakan partinya berbagai-bagai kaum, perkara itu tidak boleh menghapuskan tabii mereka yang cinta akan kaum masing-masing. Sehinggakan, mereka menunjukkan sikap melampau dengan menentang syariat Islam yang menjadi hak penganut Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, menggalakkan penggunaan bahasa Cina di tempat yang wajib menggunakan bahasa kebangsaan mengikut lunas perlembagaan, mencabar hak istimewa kaum bumiputera dalam perlembagaan, dan lain-lain.

Seterusnya, DAP mendedahkan strategi politik terbuka mereka yang mahu menguasai negara dengan memancing Melayu menjadi alat kuasa untuk sementara waktu sebagai Perdana Menteri, menteri kabinet, Menteri Besar, Ahli Majlis Kerajaan Negeri, Datuk Bandar, dan lain-lain. Kini, sudah ramai orang Melayu yang termakan pancing tersebut.

Allah SWT telah memberikan petunjuk dengan firman-Nya:


﴿لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُولَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ٩﴾

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan kawanmu kalangan orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” (Surah al-Mumtahanah: 8–9)

Oleh itu, menjadi suatu kesilapan besar kepada kaum Cina bukan Islam yang memilih parti yang ekstrem seperti DAP yang tidak peduli demi kebaikan mereka sendiri dalam masyarakat majmuk.

Kesilapan dan dosa besar bagi orang Melayu Islam yang berpecah belah dengan niat yang salah, telah menyebabkan kelemahan kuasa politik kaum Melayu Islam yang wajib memimpin negara.

Jangan biarkan kuasa politik yang masih ada ini terlucut kerana jahil dan leka, kerana kuasa politik memayungi segala perkara yang lain. Selamatkan keadaan hari ini dengan perpaduan bangsa Melayu Islam, sepertimana Rasulullah SAW memulakan dengan perpaduan bangsa Arab.

8.0 KESIMPULAN

Demikianlah pengajaran daripada wahyu Allah SWT dan teladan Rasulullah SAW, betapa pentingnya perpaduan umat yang mengikuti petunjuk-Nya itu wajib dilaksanakan, sehingga ia mengatasi segala tujuan duniawi yang merosakkan dunia hingga akhirat.

Kita menyeru kepada penyatuan kaum Melayu Islam bukan kerana rasis, tetapi kerana mahu meletakkan kuasa politik ke landasan yang betul dalam keadaan kaum Melayu tidak fanatik perkauman. Kalau dibiarkan, kaum Melayu akan bertindak salah juga dengan semangat fanatik perkauman yang berlaku secara automatik tanpa dikawal.

Saya ulangi contoh yang telah ditunjukkan oleh Allah SWT dalam al-Quran:


﴿حَتَّىٰٓ إِذَآ أَتَوۡاْ عَلَىٰ وَادِ ٱلنَّمۡلِ قَالَتۡ نَمۡلَةٞ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّمۡلُ ٱدۡخُلُواْ مَسَٰكِنَكُمۡ لَا يَحۡطِمَنَّكُمۡ سُلَيۡمَٰنُ وَجُنُودُهُۥ وَهُمۡ لَا يَشۡعُرُونَ١٨ فَتَبَسَّمَ ضَاحِكٗا مِّن قَوۡلِهَا وَقَالَ رَبِّ أَوۡزِعۡنِيٓ أَنۡ أَشۡكُرَ نِعۡمَتَكَ ٱلَّتِيٓ أَنۡعَمۡتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَٰلِدَيَّ وَأَنۡ أَعۡمَلَ صَٰلِحٗا تَرۡضَىٰهُ وَأَدۡخِلۡنِي بِرَحۡمَتِكَ فِي عِبَادِكَ ٱلصَّـٰلِحِينَ١٩﴾

“(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai di lembah semut, berkatalah seekor semut, ‘Wahai sekalian semut! Masuklah ke dalam sarang-sarang kamu masing-masing, agar kamu tidak binasa dipijak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedarinya.’ (18) Maka, dia (Sulaiman AS) tersenyum dengan tertawa mendengar kata-kata semut itu, lalu berdoa dengan berkata, ‘Wahai Tuhanku! Berikanlah kepadaku ilham untuk tetap mensyukuri ni‘mat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kedua-dua ibu bapaku, dan supaya aku dapat mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu dalam kalangan hamba-hamba-Mu yang soleh.’ (19)” (Surah al-Naml: 18–19)

Binatang semut yang kecil dan lemah pun menjaga kaumnya secara perasaan tabii. Maka, di manakah letaknya orang Melayu Islam yang tidak mempunyai perasaan langsung sehingga hilang sifat tabiinya?

Umat Islam Melayu yang mundur wajib bersatu dengan kembali semula kepada Islam. Semua bangsa yang menganut Islam adalah paling layak memimpin dunia. Inilah perkara yang sangat ditakuti oleh musuh Islam kerana kedengkian mereka terhadap Islam, bukan kerana mencari kebenaran.

Besarnya jumlah rumpun Melayu di Nusantara pasti menjadikan rantau ini sasaran musuh. Maka, jangan ada pihak yang menjadi alat musuh dan makhluk asing yang sentiasa ingin mengambil peluang.

Tanamkan semangat generasi awal yang mempertahankan Islam dalam diri semua. Firman Allah SWT:


﴿لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا٢١ وَلَمَّا رَءَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡأَحۡزَابَ قَالُواْ هَٰذَا مَا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَصَدَقَ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥۚ وَمَا زَادَهُمۡ إِلَّآ إِيمَٰنٗا وَتَسۡلِيمٗا٢٢ مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ رِجَالٞ صَدَقُواْ مَا عَٰهَدُواْ ٱللَّهَ عَلَيۡهِۖ فَمِنۡهُم مَّن قَضَىٰ نَحۡبَهُۥ وَمِنۡهُم مَّن يَنتَظِرُۖ وَمَا بَدَّلُواْ تَبۡدِيلٗا٢٣﴾

“Sesungguhnya, telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagi kamu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan dia banyak menyebut-nyebutkan Allah. (21) Dan tatkala orang-orang Mukmin melihat bala tentera Ahzab (golongan-golongan yang bersekutu itu,) mereka berkata, ‘Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita.’ Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan ketundukan (Islam). (22) Antara orang-orang Mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka antara mereka ada yang gugur. Dan antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak mengubah (janji mereka). (23)” (Surah al-Ahzab: 21–23)


وآخر دعوانا أن الحمد لله رب العالمين.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️