Home Kenyataan Media PAS Wilayah

2021 : Ke Arah Metropolitan Sejahtera

208
SHARE

Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP) mengucapkan Selamat Tahun Baru 2021 kepada seluruh warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan tanpa mengira bangsa dan agama.

Tahun 2020 telah menyaksikan begitu banyak perubahan besar buat Malaysia antaranya penularan wabak Covid-19 serta Kerajaan Persekutuan yang bertukar daripada Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional.

Mengambil peranan sebagai sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan, BPPWP tetap komited untuk mempergiatkan lagi usaha-usaha bagi menjamin kesejahteraan rakyat di Wilayah Persekutuan khususnya.

Gagasan Wilayah Sejahtera yang bertemakan “Membangun Manusiawi” ialah pelan induk PAS Wilayah Persekutuan mendepani urbanisasi dan sosialisasi bagi melestari pembangunan bandar yang dipacu dengan kecemerlangan manusiawi.

Gagasan ini juga digerakkan dengan hasrat menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai hub pembentukan modal insan dengan tahap jati diri, ilmu dan kemahiran yang tinggi serta menjadi nadi kepada semua aktiviti politik, ekonomi dan sosial.

Seiring dengan usaha berkenaan, BPPWP sedang dalam usaha memiliki sebuah bangunan operasi sendiri yang akan dinamakan Darul Madani dalam menjayakan aspirasi BPPWP untuk menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai Metropolitan Sejahtera yang turut mendapat sokongan padu daripada masyarakat bukan Islam.

Semoga tahun 2021 ini menjadi permulaan yang baik untuk aspirasi ini dan mampu memberi sinar kepada kesatuan masyarakat berlandaskan agama khususnya di Wilayah Persekutuan ini.

Selamat Tahun Baru 2021.

‘Islam Memperkukuh Perpaduan’

‘Wilayah Sejahtera’

‘Darul Madani Mencorak Metropolitan Sejahtera’

USTAZ AZHAR YAHYA
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP)
31 Disember 2020 | 16 Jamadilawal 1442