Jaga Kebajikan Rakyat Bukan Agenda Bermusim
KEMAMAN – Menjaga kebajikan rakyat dari segenap aspek telah menjadi tanggungjawab PAS sejak dahulu lagi dan ia bukan dilakukan secara bermusim.
Ketua Lajnah Kebajikan PAS DUN Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa segala kerja kebajikan yang dilaksanakan pihaknya adalah bersifat sementara dan hanya bersifat retorik menjelang pilihan raya sahaja.
Menurutnya lagi, program ziarah kebajikan telah berjalan sejak sekian lama hingga ke hari ini malah kaedah serta pendekatan yang dilaksanakan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa.
“Ada pihak cakap ini kerja untuk pilihan raya sahaja tetapi kita berani nafikan kerana kita sentiasa melaksanakan kerja kebajikan ini sepanjang masa.
“Lumrah Umno-BN memang kerjanya mahu mencari kesalahan kita (PAS) dan mereka sebenarnya yang ‘bekerja kuat’ untuk pilihan raya dengan menyebarkan berita tidak benar serta memburuk-burukkan imej PAS,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan tilam angin kepada pesakit strok dan parkinson, Ramli Muda, 61, yang terlantar sejak dua tahun lalu, di sini, malam tadi.
“Perkara ini menunjukkan bahawa masyarakat mempunyai hubungan akrab dengan kepimpinan PAS malah sangat disenangi hingga membuatkan pihak Umno-BN tidak senang duduk.
“Inilah yang ditakuti kerajaan kerana mereka sedar kita adalah sebuah organisasi parti yang ‘buat kerja’ serta dipercayai oleh masyarakat,” ujarnya.
“Sebenarnya inilah yang kita dukung ini, cara hidup yang tidak ada perbezaan antara pemimpin dengan masyarakat malah mempunyai hubungan yang sangat akrab antara kedua-duanya,” katanya.