MTD Bukit Tunggal Agih 125 Baucer Persekolahan
KUALA NERUS – Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Bukit Tunggal mahu pastikan tidak ada pelajar yang tercicir ke sekolah kerana tiada kelengkapan persekolahan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tunggal, Dr Alias Razak berkata pendidikan sangat penting bagi mendapatkan ilmu pengetahuan serta boleh mengurus diri.
Justeru, katanya setiap pelajar wajib mendapatkan pendidikan melalui sistem persekolahan yang disediakan di peringkat rendah dan menengah.
Menurutnya, jika aspek peralatan dan pakaian persekolahan tidak selesai akan mengganggu pembelajaran pelajar terbabit.
“Pendidikan sangat penting untuk dapatkan ilmu. Maka, setiap pelajar itu wajib dihantar untuk mendapat pendidikan.
“Apabila orang miskin, mungkin pakaiannya tidak sempurna, lusuh dan lama. Pelajar terbabit juga akan rasa rendah diri dengan perasaan malu. Itu akan mengganggu fokus mereka untuk belajar dalam kelas dengan baik.
“Contohnya, semua orang pakaian baharu tiba-tiba dia (pelajar) yang dari keluarga miskin guna pakaian lama, koyak dan kotor. Sudah tentu pelajar itu akan rasa hina diri dan tidak dapat tumpu kepada pelajarannya,” jelas Dr Alias.
Beliau berkata demikian pada Program Sumbangan Baucer Persekolahan Dun Bukit Tunggal, di Pusat Khidmat Masyarakat Dun Bukit Tunggal, Kampung Serdang, Bukit Tunggal, pada Ahad 24 Disember.
Sebolehnya, kata Dr Alias mahu pastikan tidak ada pelajar-pelajar di Dun Bukit Tunggal ini yang ke sekolah dalam keadaan pakaian yang tidak sempurna.
Menurut beliau, pastikan pelajar tersebut dapat belajar dengan baik dan fokus kepada pembelajarannya di kelas.“Setakat ini, kita (PAS) pakat berkongsi dengan orang ramai bagi menyediakan sejumlah peruntukan itu.
“Kami dari wakil rakyat pembangkang (PAS) tidak pernah diberikan peruntukan khas oleh kerajaan negeri,” ujarnya kepada 250 hadirin.
Pada majlis itu, seramai 125 orang pelajar dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah menerima sumbangan bernilai RM100 seorang bagi membeli peralatan dan pakaian persekolahan baharu sesi 2018.