BAGAN AJAM, 31 Disember 2017 : Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) cawangan Pulau Pinang dengan kerjasama AMAL Malaysia, Alternative Riding Club (ARC) dan DACS telah menganjurkan program ambang Tahun Baru yang diberi nama NAWAITU 2018 dengan tema ” Menuju Kesjahteraan Ummah”
Dengan kehadiran hampir 2000 orang, bertempat di padang R&R Bagan Ajam tersebut bertujuan mengisi masa menanti detik tahun baru dengan majlis ilmu, berhibur dengan tatacara Islam dan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang nasib saudara seaqidah di Palestin.
Program yang bermula selepas solat Asar dengan aktiviti flashmobe di hadapan tol Bagan Ajam telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan membunyikan hon sebagai sokongan terhadap ummat Islam Palestin.
Dalam masa yang sama, aktiviti berkonvoi bersama Alternative Riding Club (ARC) telah bergerak dari Masjid Seberang jaya menuju ke R&R Bagan Ajam dengan disertai oleh anak muda hampir 50 kenderaan motosikal berkuasa tinggi.
Acara pada sebelah malam diteruskan dengan solat maghrib berjamaah di padang dan diteruskan dengan kuliah maghrib perdana yang disampaikan oleh Ustaz Abdul Razib.
Kemuncak program NAWAITU 2018 disajikan dengan forum goreng santai yang dibarisi oleh ahli panel ikon anak muda Pulau Pinang iaitu Ustaz Hanif Haron, Ir Wan Rafaie dan seorang salebriti, Ustaz Fawwaz Md Jan. Forum pada malam itu, diselang-selikan dengan alunan qasidah daripada Kumpulan Soutul Muhibbin dari Tahfiz Ibnu Sina dan Buskin Simfoni.
Dalam forum tersebut, Ustaz Hanif Haron selaku pengarah program NAWAITU 2018, melahirkan ucapan penghargaan kepada petugas-petugas yang bertungkus-lumus menjayakan program dakwah lapangan tersebut dan mengaharapkan agar dapat memberi kesedaran dan kesan kepada masyarakat umumnya dan khususnya kepada mereka yang hadir.
Program NAWAITU ‘18 diakhiri dengan bacaan doa wehdah secara beramai-ramai yang dipimpin oleh Ustaz Safirol dengan begitu bersemangat dan disusuli dengan berselawat ke atas Nabi SAW sehingga tamat program tersebut.
Harapan dari pihak penganjur supaya masyarakat sedar bahawa Islam tidak pernah menghalang untuk berhibur, namun perlulah ia berunsurkan mendidik jiwa serta tidak melalaikan.
Program berakhir pada jam 12.15 pagi.
Disediakan oleh
Ust Muhammad Zikri Mohamad Zaki
Setiausaha ILMAM caw Pulau Pinang