TPJ PAS Sarawak Kunjungi Presiden
MARANG – Timbalan Pesuruhjaya (TPJ) III PAS Sarawak selaku Yang Dipertua PAS Kawasan Batang Sadong, Asan Singkro dan keluarganya teruja apabila pertama kali berkunjung ke rumah kediaman Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Rusila, Marang.
Beliau yang juga bekas calon PAS, N24 Sadong Jaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11, April lalu lebih dikenali sebagai Cikgu Asan datang ke Terengganu bersama isteri dan anak perempuannya.
Hadir sama menemani Cikgu Asan sekeluarga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut dan isterinya.
“Saya sangat terujalah melihat, terutamanya pengisian untuk memberi pemahaman kepada masyarakat Islam. Saya fikir ini susah kita hendak dapat (wujud) di Sarawak.
“Pada saya, ini satu kegiatan yang perlu juga ada di sana (Sadong jaya) supaya masyarakat lebih faham tentang Islam.
“Saya cukup yakin jika mereka (rakyat) faham tentang Islam, mereka akan dapat bersama-sama dengan jemaah PAS ini, Insya’Allah,” ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Batang Sadong pada semalam 14 Oktober.
Beliau mahu Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi terus memimpin parti kerana ketokohan Naib Ketua Kesatuan Ulamak Islam Sedunia tidak boleh dipertikaikan.
“Kita sentiasa mendoakan supaya Tuan Guru (Abdul Hadi) akan terus memimpin kita (PAS) sebagai pemimpin yang bagi saya memang kita tidak dapat mempertikaikan kewibawaannya.
“Beliau (Ustaz Hadi) Naib Ketua Kesatuan Ulamak Sedunia dan Presiden PAS. Mudah-mudahan kita akan terus dipimpin oleh beliau, Insya’Allah,” jelasnya.
Cikgu Asan turut memaklumkan aktiviti parti selepas PRN ke-11, April lalu kini lebih baik dan PAS semakin aktif di beberapa kawasan di Sarawak.
Bahkan, katanya PAS Sarawak akan menyambut ulang tahun ke-20 penubuhan parti itu di negeri berkenaan pada 29 Oktober ini.
“Dalam masa terdekat ini, kita di Sarawak akan menyambut ulang tahun PAS Sarawak ke-20 tahun. Pihak PAS Sarawak telah merancang beberapa aktiviti dan diharap Tuan Guru Preiden PAS juga akan dapat bersama dengan kita, Insya’Allah.
“Setakat ini, aktiviti di peringkat kawasan berjalan dengan baik seperti di Miri, Bintulu dan beberapa tempat lagi yang aktif dengan pengisian dan program parti.
“PAS Sadong Jaya juga ada aktiviti seperti program korban baru-baru ini dan saya ucap terima kasihlah kepada PAS Terengganu yang menyumbang seekor lembu korban itu.
“Pemuda PAS agak aktif di sana (Sadong Jaya) dan masa depan PAS semakin cerah di Sarawak,” ujarnya.