NegeriTerengganu

Neraka Tempat Orang Tidak Amanah- Ustaz Abdul Hadi

MARANG – Petanda hampir berlakunya kiamat apabila manusia mempersia-siakan amanah dan melanggar perintah Allah SWT di atas muka bumi ini.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan bahawa neraka menjadi tempat golongan yang mempersiakan amanah Allah SWT.

Ini kerana, kata beliau, sesungguhnya amanah yang paling besar adalah mengendalikan urusan manusia.

Menurutnya, amanah itu merupakan syariat Allah SWT yang berupa suruhan mengerjakan perintah Tuhan serta meninggalkan laranganNya.

Justeru, kata Ustaz Abdul Hadi, barang siapa diberi amanah itu tetapi tidak menunaikannya akan dihumbang oleh Allah Ta’ala ke dalam neraka.

“Tanda-tanda kiamat apabila dipersia-siakan amanah. Amanah yang paling besar ialah mengendalikan urusan (memerintah). Apabila umat (rakyat) menyerahkan urusan mereka kepada orang yang bukan ahlinya.

“Amanah itu ialah syariat Allah, suruhan Allah, mengerjakan perintah (Allah) dan meninggalkan laranganNya.

“Barang siapa yang menunaikan perintah Allah, syariat Allah, hukum Allah, peraturan Allah akan mendapat kelebihan yang sangat besar. Tetapi ingat, barang siapa yang tidak menunaikan perkara ini (akan) dihumbang ke dalam neraka,” tegasnya ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Rusila, Marang, pada Jumaat 18 Mac..

Beliau yang juga Naib Ketua Kesatuan Ulamak Sedunia menjelaskan bahawa Allah SWT memerintahkan agar manusia itu berlaku adil.

“Mereka tidak menunaikan perintah Allah, tidak menyempurnakan suruhanNya, tetapi mengerjakan laranganNya, melakukan maksiat, melakukan kezaliman di atas muka bumi sesama sendiri.

“Allah SWT memerintah mereka supaya berlaku adil sesama manusia, terhadap dirinya, terhadap keluargannya dan terhadap makhluk-makhluk yang lain. Adil itu ialah meletakkan sesuatu kena pada tempatnya.

“Tetapi manusia yang tamak haloba, yang bernafsu dalam menggunakan akal telah menyalahgunakan nikmat yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala.

“(mereka) Menyalahgunakan kuasa, menyalahgunakan rezeki yang diberi oleh Allah dan berlaku zalim sesama sendiri. Menipu sesama sendiri dan melakuan kemusnahan di atas muka bumi.

“Manusia-manusia yang seperti inilah menjadi sebab berlakunya kiamat, dimusnahkan alam. Walau pun Allah SWT mengutus Nabi-nabi dan Rasul-rasul, walau pun Rasul dipilih dari kalangan manusia sendiri,” jelasnya dari mimbar Masjid Rusila.

Namun, katanya masih terdapat di kalangan manusia yang melawan dan menghina Rasul-rasul yang membawa perintah Allah SWT itu.

Tambah beliau, golongan tersebut bukan sahaja tidak mengikut perintah Allah SWT bahkan merosakkan diri sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️