NegeriTerengganu

Dewan Ulamak PAS Terengganu Lawat Sekolah Agama Persendirian

KEMAMAN – Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu (DUPNT) hari ini telah mengadakan lawatan muhibah ke beberapa Sekolah Agama Rakyat (SAR) persendirian terpilih di daerah Kemaman.

Selain lawatan muhibah,ia juga bertujuan bagi mencari titik persamaan bukan politik dalam memperkasakan pusat pendidikan Islam untuk SAR berada didalam satu kelompok yang khusus dan kuat.

Rombongan seramai lapan orang itu yang diketuai oleh Pengerusi Lajnah Persekolahan DUPNT, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, telah menziarahi empat buah SAR persendirian di sekitar Kemaman.

Ustaz Mohd Nor yang juga Adun Bukit Payung, menjelaskan pengurusan SAR ini perlu diselaraskan untuk menguatkannya bagi menghadapi cabaran pendidikan Islam yang semakin tinggi permintaan dan cabarannya.

Jelas beliau lagi, amat rugi jika pengurusan SAR ini tidak mempunyai jaringan antara satu sama lain kerana dengan kekuatan ini akan SAR akan mendapat kelebihan.

Antara kelebihannya ialah dapat menyatukan pelajar-pelajar, membantu membaiki kelemahan sesama SAR, melebarkan dakwah bagi agama Islam dan bertindak sebagai satu pasukan melawan anasir perosak.

“Musuh Islam bersatu dalam agenda melawan Islam. Oleh itu, tidak seharusnya kita berpecah dalam menjalankan dakwah bagi memahamkan Islam kepada masyarakat.

‘Jika kita bersatu maka kita telah melangkah ke hadapan dalam mengharungi cabaran sekarang,” tegas Ketua Penerangan PAS Terengganu itu ketika menyatakan tujuan kunjungan mereka.

Antara SAR yang dilawati ialah Pondok al-Mustakim di Jalan Air Putih dan pondok yang terkenal iaitu Taman Islam Kemaman.

Antara masalah lain SAR persendirian ini yang dikesan ialah sikap prejudis pemerintah dengan sewenang-wenangnya mengaitkan majoriti SAR walaupun persendirian dengan pembangkang.

Beliau kesal dengan salah sangka itu yang akibatnya bantuan yang sepatutnya disalurkan kepada SAR persendirian ini, disekat hanya kerana sangkaan politik yang salah dari pihak berkuasa.

Tempat Budak Nakal

Sehubungan itu, masyarakat Islam digesa agar tidak lagi menganggap Sekolah Agama Rakyat (SAR) atau juga dikenali sebagai Sekolah Pondok sebagai tempat meletakkan pelajar tercicir dan yang mempunyai masalah disiplin.

Tanggapan sebegitu masih menebal dalam pemikiran ibu bapa yang mempunyai anak yang agak bermasalah samada dalam pelajaran mahupun akhlak, akan mencari sekolah pondok sebagai penyelesaian mudah.

Salah seorang pengurus SAR di Kemaman, Ustaz Wan Fakhrurazi Wan Abdullah berkata sikap itu perlu dihapuskan kerana ianya tidak memberikan kebaikan yang banyak kepada perkembangan dakwah Islam.

Ini kerana pengajar-pengajar akan banyak menghabiskan masa dan tenaga mereka untuk menumpukan perkara-perkara asas sedangkan mereka diperlukan bagi kerja yang lebih besar.

“Pelajar-pelajar yang dihantar ke sini samada yang dapat C, D atau E dalam UPSR. Tak kurang juga yang langsung tiada asas bukan sahaja mengaji quran, malah untuk membaca rumipun tak pandai.

“Jadi ustaz-ustaz di sini banyak habiskan masa dengan hal-hal remeh sebegini,” ujarnya kesal.

Paling dikesalkan beliau, ada dari kalangan pelajar itu yang sudah tekun dan pandai belajar, tiba-tiba ibu bapa mereka menarik pelajar itu keluar dari pondok kerana merasakan anaknya sudah bagus.

Ini menyebabkan kebanyakan sekolah pondok sukar untuk menghasilkan pelajar agama yang cemerlang untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Akan tetapi sebagai seorang yang telah nekad memilih jalan dakwah ini sebagai pilihan hidupnya, beliau tetap menerima semua cabaran itu dengan tabah.

Ustaz Wan Fakhrurazi yang menguruskan Pondok al-Mustaqim di Jalan Air Putih, Kemaman mahu agar pihaknya diberikan peluang bagi melahirkan lebih ramai agamawan dimasa hadapan.

Pondok yang di wakafkan oleh ayah mertua beliau yang terletak di tepi jalan besar itu berkeluasan seluas dua ekar dan mempunyai 40 buah pondok.

Ustaz Wan Fakhrurazi yang berkelulusan dari Mesir itu mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan terutamanya wang tunai dari orang ramai dengan menghubungi beliau di talian 0199841666.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️