NegeriTerengganu

Amal Terengganu Kehilangan Anggota Yang Istiqamah

KUALA TERENGGANU – PAS Kawasan Marang bukan sahaja kehilangan seorang Ketua PAS Cawangan Jerung Surau tetapi juga seorang aktivis amal yang istiqamah.

Sekitar jam 3.30 pagi Ahad lalu, allahyarham Abdul Aziz Jusoh, 49, kembali kerahmatullah setelah bertarung nyawa beberapa bulan lalu akibat kanser paru-paru dan hatinya.

Beliau meninggal dunia di sisi isterinya, Puan Ramlah Awang, 54, di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu setelah mengadu sesak nafas di rumahnya Kampung Bukit Depu.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, seorang anak perempuan dari perkahwinan pertamanya serta dua orang cucu.

Allahyarham Abdul Aziz merupakan seorang Ketua Cawangan PAS Kampung Jerung Surau, Pengkalan Berangan, Marang.

Beliau bergiat aktif dengan sukarelawan Jabatan Amal Terengganu dan Yayasan Amal Malaysia sejak ditubuhkan lebih 20 tahun lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Amal Terengganu, Md Nordin Ali, 45, menyifatkan allahyarham Aziz seorang aktivis amal yang cekal, berdisiplin serta berhemah tinggi.

Katanya, setiap arahan kerja parti dan amal akan dilaksanakan tanpa rungutan atas prinsip mentaati pemimpin.

“Saya kenal lama dengan arwah abang Aziz ini dan kami sama-sama dalam sukarelawan Amal Terengganu.

“Beliau (Aziz) pernah jadi Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Amal Terengganu, Ketua Amal Marang dan akhir hayatnya adalah Ketua Amal Kelana yang baharu ditubuhkan di negeri ini.

“Amal Kelana itu akan dilancarkan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada 29 Januari ini di Kuala Terengganu,” ujarnya.

Menurutnya, allahyarham Aziz seorang pejuang PAS dan aktivis amal yang istiqamah hingga ke akhir hayatnya.

Manakala, Ketua Pengarah Jabatan Amal Terengganu, Sauji Rasid, 37, berkata semua urusan dan kos perbelanjaan pengkebumian allahyarham Aziz ditanggung oleh Jabatan Amal Terengganu.

Malah, katanya semua kos perubatan ketika allahyarham sakit dan mendapat rawatan di hospital juga ditanggung oleh bahagian Kebajikan Amal Jabatan Terengganu.

“Semua kos pembiayaan ketika pengkebumian allahyarham Aziz telah ditanggung oleh Amal Terengganu termasuk kos perubatan semasa beliau mendapat rawatan sebelum ini.

“Kami (Amal Terengganu) amat terasa kehilangan seorang aktivis sukarelawan yang istiqamah dalam perjuangan ini.

Semoga roh allahyarham di tempat di kalangan orang yang soleh,” ujarnya dengan nada terharu.

Menurutnya, ketika dalam keadaan beliau sakit pun setiap kali berjumpa akan bertanya tentang program-program PAS dan unit amal.

Selepas pulang dari Muktamar PAS di Kuala Selangor tahun 2015 lalu, Allahyarham disahkan mengidap sejenis penyakit virus hepatitis B (HBV) mengakibatkan keradangan hati.

Jenazah allahyarham di solat di Surau Kampung Bukit Depu dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Depu, Kuala Terengganu.

Antara pimpinan PAS Terengganu yang hadir menziarahi jenazah allahyarham Abdul Aziz iaitu Timbalan Pesuruhjaya II PAS Terengganu, Yahaya Ali, Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, Adun AlorLimbat, Ustaz Arifin Deraman dan ramai lagi.

Manakala, pimpinan Jabatan Amal Pusat yang hadir iaitu Timbalan Ketua Pengarah II dan III Jabatan Amal Malaysia, Ustaz Sahadin Ahmad dan Rashidi Razak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️