Pemuda KT Tekad, Pastikan Lima Kerusi Kekal Milik PR
KUALA TERENGGANU – Kepimpinan baharu Pemuda PAS Kawasan Kuala Terengganu (KT) akan meningkatkan usaha mempastikan kesemua lima kerusi di Parlimen Kuala Terengganu terus menjadi milik PR pada pilihan raya umum akan datang.
Ketuanya, Azrin Aris berkata, cabaran untuk mengekalkan kemenangan di semua kerusi termasuk parlimen KT akan digerakkan dengan beberapa usaha antaranya melipatgandakan pertambahan ahli PAS dan menggiatkan pendaftaran pemilih.
“Itu antara gerak kerja yang kita akan fokus demi memastikan kemenangan yang kita sapu bersih pada PRU baru-baru ini akan kekal dalam PRU akan datang,” katanya, ketika ditemui di pejabatnya, di sini semalam.
Azrin diamanahkan mengetuai ‘saf’ kepimpinan Pemuda PAS Kawasan Kuala Terengganu bagi penggal baharu 2015-2017 sebagaimana diputuskan dalam Mesyuarat Agung Pemuda Pas Kawasan Kuala Terengganu, Sabtu lalu.
Jawatan tersebut sebelum ini disandang oleh Wan Mohdd Faizul Wan Abas yang meninggalkan ‘era pemuda’ berikutan faktor umurnya sudah melebihi had ditetapkan dalam pemuda.
“Saya ucakan terima kasih kepada yang hadir baru-baru ini dan terima kasih pada kepimpinan yang lepas terutama Ustaz Wan Mohd Faizul Wan Abas,
“yang memberi peluang, sokongan dan dokongan untuk saya teruskan kepimpinan pada sesi 2015 hingga 2017,” katanya.
Azrin menjelaskan, program tarbiyah akan diteruskan kerana ia adalah elemen yang menguatkan jati diri ahli-ahli PAS, supaya terus istiqamah.
Tegasnya, program tarbiyah sangat penting dalam melicinkan perjalanan parti dan memperkasakan pemuda khususnya pemuda cawangan.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan mengetepikan beberapa agenda yang telah dilaksanakan pada penggal lepas dalam memperkemas gerak kerja di peringkat cawangan Pemuda.
Bahkan katanya, program dan gerak kerja akan diperhebat untuk memastikan setiap agenda yang dilaksanakan kelak menarik minat masyarakat dan pengundi untuk turut serta bersama-sama PAS.
Dalam masa sama, Azrin turun berharap ahli-ahli Pemuda aktif bergaul pergaulan dengan warga setempat serta melibatkan diri dalam hal-hal kemasyarakatan di kawasan masing-masing dan bukan hanya terhad dengan aktiviti dalaman parti sahaja.