NegeriTerengganu

35 NGO Sepakat Sertai Seketeriat ‘R’ Tuntut Royalti Terengganu

Timbalan Pengerusi Sekreteriat ‘R’, Haji Ahmad Amzad bin Mohammad @ Hashim berkata mesyuarat penubuhannya telah berlangsung pada Isnin 19 November lepas di kediaman Penaungnya Tengku Seri Paduka Raja, Tengku Ibrahim Ismail (Ku Duka).

“Mesyuarat khas penubuhan Seketeriat Royalti Terengganu, bagi menuntut hak rakyat dan membantah tindakan Menteri Besar Terengganu yang telah menarik balik bantahan (saman) royalti kepada kerajaan pusat,

“mesyuarat itu telah dihadiri lebih daripada 35 NGO yang akan menyatakan satu pendirian dalam bantahan tersebut.. Hasil daripada resolusi , Seketeriat ini telah melantik Tengku Seri Paduka Raja, Tengku Ibrahim Ismail (Ku Duka) sebagai penaung dan Pengerusi MAMPAT Cikgu Mohamad Fauzi Bin Hj Abu Samah sebagai pengerusi Seketeriat,”ujarnya.

Beliau berkata, wujud kesedaran dan semangat luar biasa di kalangan rakyat Terengganu tentang betapa perlunya tuntutan terhadap royalti minyak Terengganu diperkuatkan.

Katanya, rakyat mula sedar bahawa ia adalah hak milik rakyat Terengganu dan rakyat sudah ‘hilang kepercayaan’ terhadap  kerajaan pusat yang mendakwa sebaliknya, sedang kata beliau, segala fakta mempunyai asas yang kuat untuk kita membuat tuntutan.

Haji Amzad berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Khatan Perdana Kampung Durian Burung dekat sini pada Jumaat, 23 November.

Menurutnya, sekreteriat ‘R’ tersebut akan melaksanakan segala daya usaha melibatkan pelbagai kelompok khalayak termasuk kumpulan Profesional, anak muda dan semua lapisan masyarakat bagi menggembeling tenaga dalam usaha terbabit.

Beliau mendakwa, kerajaan pusat sengaja melambat-lambatkan proses perbicaraan tuntutan yang akhirnya, saman yang dibuat kerajaan PAS Terenggau pada tahun 2002 telah ditarik balik.

Beliau menegaskan, tindakan Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said menarik balik tuntutan adalah satu pengkhianatan terhadap rakyat.

“Pihak kerajaan pusat sebenarnnya telah melambat-lambatkan proses perbicaraan kes ini dan Dato’ Ahmad Said menarik balik tuntutan saman royalti Terengganu ini seolah-olah telah membuang kes, jadi ini satu pengkhianatan yang tidak boleh dimaafkan oleh rakyat Terengganu”

“kita sebenarnya tidak banyak masa, dan tuntutan royalti ini hanya boleh dicapai secara muktamad melalui perubahan besar dalam pilihan raya akan datang yang kita jangkakan dalam tempoh masa yang terdekat,”jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️