NegeriTerengganu

1000 Umat Islam Berdemo Bantah Serangan Israel Ke Atas Gaza

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu YB Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, demonstrasi aman itu adalah untuk membantah serangan tentera Zionis Israel terhadap umat Islam di Gaza, sebagai bukti kebersamaan PAS dengan nasib rakyat Palestin.

“Ini (demontrasi) menunjukkan kebersamaan kita, sayang kita dan simpati kita (PAS) terhadap umat Islam di seluruh dunia khususnya di Gaza, Palestin.

“Walau pun, kita berhimpun dalam masa yang singkat, jarak yang jauh dari Palestin, tetapi kita mahu menunjukkan bahawa sebenarnya hati kita merasai apa yang disabdakan oleh Nabi saw dengan maksudnya.

“Perbandingan orang-orang yang beriman dalam kasih sayang mereka, dalam simpati mereka ibarat satu jasad. Apabila satu anggota dari jasad ini sakit, maka seluruh tubuh akan mengadu sakit dan deman,” ujarnya ketika berucap pada perhimpunan itu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payong menyifatkan negara Palestin itu umpama ‘jantung hati’ bagi umat Islam di seluruh dunia hari ini.[Lihat Rakaman Video]Menurutnya, Palestin yang mana Baitul Maqdis terletak didalamnya adalah termasuk semenanjung Gaza, yang kini sedang diburu serta diperangi oleh tentera Zionis Israel.

Namun, kata Ustaz Mohd Nor, sebenarnya Israel dan orang-orang Yahudi sedang ‘menggali kubur’ sendiri di bumi Palestin.

“Jantung hati kita (umat Islam) ialah Palestin, yang (kini) sedang diburu dan diperangi oleh Israel. Marilah kita memperbanyakkan berdoa kepada Allah dan menunjukkan sikap kita menentang Israel.

“Hari ini, Israel menyerang umat Islam Palestin tetapi sebenarnya Israel sedang ‘menggali kubur’ mereka (Yahudi) untuk kehancuran mereka.

“Ini kerana, Islam sedang bangkit di Asia Tengah. Islam sedang berkuasa di Timur Tengah dan Islam juga akan berkuasa di Malaysia ini, Insya’Allah,” disambut dengan laungan takbir hadirin.

Manakala, Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan perjuangan yang berlandaskan Islam sebenar tidak akan mampu dikalahkan oleh musuh.

Justeru, katanya umat Islam di Gaza, Palestin yang kuat kebergantungan dengan ajaran Islam sebenar menunjukkan ‘Izzah’ (kemuliaan) kepada masyarakat dunia.

Menurutnya yang juga Ketua Pemuda PAS Kawasan Marang, Israel yang mempunyai kekuatan dan kecanggihan ketenteraan juga gagal mengalahkan pejuang Islam Hamas di Palestin.

“Hari ini Gaza telah menunjukkan ‘Izzah’nya (kemuliaan) kepada seluruh pelusok dunia.Apabila perjuangan berlandaskan agama Allah SWT, tidak ada mana-mana kuasa yang boleh mengalahkannya.

“Walau pun, musuh (Israel) mempunyai kekuatan yang canggih dari segi persenjataan. Begitu juga dengan pejuang Islam di Palestin, berjaya mempertahankan serangan Israel selama lapan hari itu,” jelasnya.

Hadir sama pada himpunan tersebut Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Abu Dardad, Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Wan Ahmad Faizul Wan Abas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️