Home Berita PAS Sabah

20 kanak-kanak sertai khatan percuma asnaf PAS Putatan

38
SHARE

Disediakan oleh: Nurhayati Sutekno
20 Disember 2023

PUTATAN: Biro Kebajikan & Keprihatinan Sosial PAS Putatan dengan kerjasama PAS Cawangan Kampung Sri Pandan dan beberapa NGO seperti Khidmat Sabah, PAPISMA, PERKEPS dan Sabah Relief menganjurkan program Khatan Asnaf percuma di Masjid Al Firdaus, Kampung Sri Pandan Putatan pada 17 Disember yang lepas.

20 orang kanak-kanak berusia 6 hingga 13 tahun telah menyertai program ini dan dibantu seramai 8 orang sukarelawan daripada doktor perubatan.

Majlis perasmian Khatan Asnaf disempurnakan oleh Timbalan Pesuruhjaya III PAS Negeri Sabah Dr. Mohd Afifi bin Shaiffuddin. Turut hadir, Pengerusi Biro Kesihatan PAS Negeri Sabah, Dr. Nafisah Abdul Aziz, YDP PAS Putatan, Ustaz Muhammad Akmal Othman, Ketua Kampung Sri Pandan, Encik Latim Alip dan Pengerusi Masjid Al-Firdaus, Encik Mohd Yasir Almandily Awaluddin.

Menurut Dr Afifi, “kos khatan itu sendiri agak mahal. Di klinik swasta saja, kos khatan mencecah antara RM 170 hingga RM 450 bergantung kepada beberapa faktor. Justeru itu, PAS Putatan mengambil inisiatif untuk meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan dengan memberikan khatan secara percuma kepada anak-anak”, ujar beliau.

Selain itu, aktiviti lain yang diadakan ialah pertandingan mewarna berumur 4 hingga 12 tahun, penyerahan sumbangan sekampit beras kepada 20 orang penerima dan pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk kampung.

Program Khatan Asnaf merupakan program tahunan PAS Putatan untuk membantu keluarga asnaf bagi memenuhi tuntutan agama sebagai seorang Muslim.

Biro Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Kawasan Putatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah bersungguh-sungguh membantu menjayakan program ini.