Home Berita PAS Terengganu

180 Penduduk Terima Hak Milik Tanah Yang Dinanti Bertahun

1
SHARE

DUNGUN – Suasana penuh syukur dan kegembiraan terpancar pada wajah para penerima apabila lebih 180 penduduk sekitar Rantau Abang dan Sura akhirnya menerima geran tanah serta borang 5A yang telah lama dinantikan.

Majlis penyerahan yang berlangsung semalam, menyaksikan seramai 110 penerima geran tanah dan 70 penerima borang 5A berjaya memiliki hak ke atas tanah yang telah mereka pohon sejak sekian lama.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli, pengumuman berkenaan merupakan satu detik bermakna khususnya bagi golongan warga emas yang sudah lama menunggu kepastian hak milik tanah mereka.

“Alhamdulillah, suka saya apabila ibu ayah yang boleh geran tanah dan borang 5A hari ini. Setelah menunggu hampir sekian lama, hari ini menjadi kenyataan apabila tanah yang telah dimohon dulu akhirnya menjadi milik tuannya,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa tanah yang diberikan bukan sekadar harta fizikal, tetapi amanah yang harus diurus dengan penuh tanggungjawab.

“Tanah yang jadi milik kita ni juga adalah amanah Allah SWT yang perlu dijaga dengan baik. Insya-Allah tanah dah ada, selepas daripada ini kita akan berusaha untuk pembangunan infra di kawasan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) itu nanti,” tambahnya.

Mengulas mengenai perancangan masa hadapan, beliau menegaskan bahawa usaha menaik taraf kemudahan infrastruktur akan dilaksanakan secara berperingkat.