KUALA TERENGGANU – Seramai 170 kakitangan Wisma Darul Iman (WDI) hari ini menyertai aktiviti tanggathon dan zumba anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.
Daripada jumlah itu, 70 kakitangan lelaki mengambil bahagian dalam aktiviti Relay-Tanggathon Darul Iman dan 100 penjawat awam wanita pula menyertai aktiviti Zumba.
Program yang diadakan serentak di laluan tangga hadapan dan Dewan Jamuan, Tingkat 18, WDI adalah bersempena Karnival Cakna Sihat Penjawat Awam Di Negeri Terengganu 2025.
Bertemakan ‘Cakna Kesihatan, Tolak Ubat Tak Sah’, karnival tersebut berlangsung bermula hari ini sehingga 28 Mei ini dengan pelbagai aktiviti termasuk pemeriksaan kesihatan dan sebagainya.