Home Berita PAS Terengganu

16,239 Petugas siap sedia hadapi banjir

35
SHARE

KUALA NERUS – Seramai 16,239 orang petugas bersiap sedia membantu mangsa banjir yang dijangka melanda negara pada pertengahan Oktober sehingga Februari nanti.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, mereka terdiri daripada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kaunselor, pegawai psikologi termasuk juga sukarelawan kaunselor dan juga sukarelawan JKM yang berdaftar dibawah kementerian.

Katanya, peranan utama para kaunselor khususnya adalah membantu memulihkan emosi mangsa-mangsa banjir.

“Dan sebenarnya ramai lagi di luar sana sukarelawan daripada pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM), bomba dan lain-lain termasuk NGO yang banyak memberi sokongan terutama di musim banjir.

“Setakat ini, alhamdulillah kita mempunyai ramai sukarelawan yang membantu.

“Di bawah Kementerian Pembangunan Wanita kita ada Lembaga Kaunselor Malaysia yang berdaftar dengan kita lebih daripada 7,000 orang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Perasmian Dasar Wanita Terengganu Sempena Sambutan Hari Sayyidatina Aishah Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak, kelmarin.

Katanya, skuad WAJA dibawah Jabatan Pembangunan Wanita pula mempunyai 326,500 sukalerawan berdaftar yang mana sebahagian daripada mereka sudah mendapat kursus dan latihan.

“Peranannya untuk menangani isu-isu psikososial dan apa-apa isu berkaitan dengan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” ujarnya.