Home Berita PAS Terengganu

16 Pulau Buatan dibina di kawasan hakisan pantai

15
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerja-kerja membina 16 pulau buatan di kawasan hakisan pantai di Kuala Terengganu sedang giat dijalankan sebagai langkah proaktif untuk mengawal hakisan yang semakin kritikal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim, berkata kawasan pantai tersebut sering berdepan dengan masalah hakisan yang serius setiap kali tiba musim tengkujuh.

“Usaha ini adalah sebahagian daripada langkah jangka panjang untuk melindungi pantai daripada terus terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengikuti taklimat Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Pantai Kuala Nerus yang diadakan di Kampung Pengkalan Maras, Batu Rakit, baru-baru ini.

Taklimat tersebut turut dihadiri ADUN Batu Rakit, Shafizi Ismail, Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuala Nerus dan Ahli Lembaga Pengarah GPQ Sdn Bhd.

Hishamuddin berkata, projek itu adalah harapan penduduk yang telah sekian lama menantikan langkah penyelesaian bagi masalah hakisan pantai.

“Walaupun ia tidak akan memulihkan keadaan pantai seperti sediakala, ia dijangka memberi kesan positif kepada penduduk sekitar,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan & NGO negeri, menjelaskan bahawa bahan binaan untuk projek tersebut termasuk batu-batuan yang dihantar menggunakan tongkang kargo dari Kemaman serta jalan darat.

“Beberapa pulau dijangka siap sebelum musim tengkujuh yang akan datang, khususnya di lokasi-lokasi yang paling kritikal,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa beberapa isu berbangkit yang telah merencatkan perjalanan projek telah dikenal pasti dan akan ditangani segera untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek berkenaan.

“Projek ini mendapat sokongan penuh dari penduduk setempat yang berharap ia akan memberikan perlindungan yang berkesan terhadap hakisan dan meningkatkan kualiti hidup mereka.

“Perkembangan lanjut mengenai projek ini akan terus dipantau dan diumumkan kepada orang awam dari semasa ke semasa,” ujarnya.