Home Berita PAS Terengganu

16 Pasukan berentap dalam kejohanan bola sepak piala ADUN Manir

34
SHARE

HULU TERENGGANU – 16 pasukan kini sedang berentap dalam Kejohanan Liga Bola Sepak 11 Sebelah Piala ADUN Manir tertutup tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Dato’ Harun berkata, tujuan utama dianjurkan kejohanan tersebut adalah bagi mengeratkan lagi ukhwah di antara anak muda.

“Objektif utama kejohanan adalah menggalakkan aktiviti sukan dan dapat mengisi masa dengan aktiviti sihat dan berfaedah.

“Kita juga mensyaratkan mereka perlu menutup aurat ketika bermain dan mana-mana pemain yang melanggar peraturan ini akan dibatalkan penyertaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perlawanan Pembukaan Kejohanan Bola Sepak 11 Sebelah Piala ADUN Manir di Padang Bola Bong Seri Machang, semalam.

Tambahnya lagi, tumpuan kali ini ialah padang bola Bong Seri Machang dan Padang Bola Komuniti Pulau Bahagia.

Kejohanan akan berlangsung selama dua bulan dengan menawarkan hadiah sebanyak RM2,000 untuk johan, RM1,500 naib juara dan tempat ketiga serta keempat RM600,  dan kesemua pemenang akan turut menerima piala dan pingat.

Sementara itu, Hilmi juga berharap, setiap pasukan perlu bermain dengan penuh semangat kesukanan dan ukhuwah tanpa menimbulkan provokasi kekerasan dari para pemain dan juga penonton.