Home Berita PAS Terengganu

1,579 Tukun Tiruan berlabuh di perairan Terengganu sejak 2006

15
SHARE

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 1,579 unit tukun tiruan pelbagai jenis telah dilabuhkan di Perairan Terengganu melibatkan kos lebih RM18 juta sejak tahun 2006 sehingga tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, peruntukan sebanyak RM13 juta adalah dari dana Kerajaan Negeri manakala bakinya merupakan sumbangan Kerajaan Persekutuan.

“Dalam satu kajian keberkesanan tukun di Perairan Pantai Timur Semenanjung Malaysia oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) bersama Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan, antara dapatannya, purata kepadatan ikan di tukun-tukun Terengganu ialah 70.5 peratus, Kelantan (31.1 peratus), Pahang (50 peratus) dan Johor Timur (60.5 peratus).

“Keberkesanan tukun juga diukur dari peningkatan kadar pendaratan ikan. Jumlah pendatatan bagi tahun 2022 sebanyak kira-kira 33 ribu metrik tan meningkat kepada kira-kita 46 ribu metrik tan pada tahun 2023 dengan peningkatan kira-kira 39 peratus,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Jabi berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Langkap, Azmi Maarof dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Tambah beliau, antara jenis-jenis tukun yang dilabuhkan adalah tukun kuboid penghalang pukat tunda, tukun ‘cheese block’, tukun ‘castle’, tukun ‘rig to reef’, tukun bot dan beberapa jenis tukun lagi.