Home Artikel PAS Pahang

151 sertai Kayuhan Amal untuk derma kebakaran Tahfiz Al Banna

178
SHARE

BANDAR TUN RAZAK JENGKA: Seramai 151 orang peserta mengambil bahagian dalam Kayuhan Basikal Amal semalam (Ahad) yang dianjurkan oleh Sekolah Rendah Islam (Seri) Tahfiz Al Banna bagi tujuan kutipan dana untuk sekolah tersebut yang dilanda musibah kebakaran baru-baru ini.

 

Program tersebut mendapat kerjasama daripada Team Jengka Cycling, Team Seroja Cycling dan Team Fourteen Cycling yang berlangsung sejauh 30 kilometer.

 

Adun Jengka, Ustaz Shahril Azman Abdul Halim telah melapangkan masa melaksanakan perlepasan mula para peserta yang membuat kayuhan tersebut.

 

Para peserta dikenakan yuran penyertaan sebanyak RM30 seorang dengan semua kutipan tersebut didermakan kepada Sekolah Tahfiz Al Banna.

 

Ustaz Shahril Azman dalam ucapannya berkata: “Inilah sumbangan kita semoga menjadi amalan yang akan menjauhkan kita daripada api neraka dan memasukan kita ke dalam syurga Allah.

 

“Ini disebabkan derma dan sumbangan ini cukup bermakna bagi kesinambungan anak-anak tahfiz untuk dapat meneruskan pelajaran bagi pembinaan sekolah mereka,” ujarnya.

 

Malapetaka kebakaran yang meranapkan bangunan sekolah tersebut berlaku pada 18 Januari lalu kira-kira jam 9.20 malam dipercayai akibat litar pintas dan kerugian ditaksirkan sebanyak RM330 ribu.

 

Tahfiz tersebut yang terletak di atas tanah seluas 3.25 ekar dan mula dibina pada 2013 itu mempunyai pelajar seramai 173 orang dengan kelas darjah satu sehingga darjah enam.

 

Pada masa ini, pelajar-pelajar ditempatkan di Masjid Sultan Ahmad Shah Jengka untuk kelas pembelajaran sementara.