Home Berita PAS Terengganu

150 Asnaf Terima Agihan Zakat di KMI

21
SHARE

KUALA TERENGGANU – Seramai 150 asnaf dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk dan golongan memerlukan di Hospital KMI Kuala Terengganu (KMIKT) menerima agihan zakat wakalah dalam satu program penuh bermakna.

Sumbangan ini hasil inisiatif kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, TDM Berhad, yang semakin menunjukkan prestasi memberangsangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program ini.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada TDM Berhad, KMIKT, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), serta semua yang terlibat dalam menjayakan program petang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perkongsian Dalam Keberkatan, di KMIKT.

Beliau menegaskan bahawa kepimpinan negeri menganggap kekayaan negeri sebagai amanah yang mesti dikembalikan kepada rakyat.

“Semenjak Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menerajui kerajaan negeri, kita berpegang pada tema ‘Maju, Berkat, Sejahtera’.

“Keuntungan yang diraih bukan untuk kepentingan syarikat semata-mata, tetapi dipulangkan kepada rakyat,” jelas beliau.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin, turut menzahirkan komitmen syarikat dalam membantu masyarakat setempat, khususnya golongan asnaf.

“Sebagai syarikat yang beroperasi di DUN Batu Buruk, menjadi tanggungjawab sosial kami untuk membantu mereka yang memerlukan,” ujar beliau.

Menurut beliau, program ini bukan sekadar inisiatif kebajikan, tetapi juga manifestasi nilai Islam yang menitikberatkan keprihatinan terhadap golongan yang kurang berkemampuan.

“Kami amat berbangga dapat bersama-sama meraikan asnaf yang terpilih pada petang ini.

“Semoga sumbangan ini dapat membantu mereka menyambut Ramadan dengan lebih tenang dan bahagia,” tambahnya.

Beliau turut berkongsi kejayaan TDM Berhad dalam dua sektor utama, iaitu perkhidmatan hospitaliti dan perladangan.

“Pada tahun lepas, operasi keseluruhan hospital KMI mencatat hasil sebanyak RM340 juta, dengan KMI Kuala Terengganu (KMI KT) antara yang paling cemerlang.

“Manakala dalam sektor perladangan, TDM mengusahakan lebih 40,000 hektar tanaman kelapa sawit di seluruh Terengganu, menghasilkan pendapatan sekitar RM290 juta.

“Secara keseluruhan, TDM berjaya memperoleh hasil melebihi RM600 juta,” jelasnya.

Tambah Najman, hasil keuntungan ini turut dikongsi bersama masyarakat melalui pembayaran zakat.

“Kami berjaya menyalurkan sebanyak RM2 juta dalam bentuk zakat pada tahun lalu.

“Untuk Ramadan ini sahaja, lebih 3,000 penerima di seluruh Terengganu menerima manfaat daripada sumbangan ini,” tambahnya.

Menurut beliau, kejayaan sesebuah syarikat bukan diukur semata-mata melalui pencapaian kewangan, tetapi juga melalui impak positif yang diberikan kepada masyarakat.

“TDM Berhad sentiasa komited dalam menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan memastikan kejayaan yang diperoleh dikongsi bersama masyarakat, khususnya golongan yang kurang bernasib baik,” kata beliau.

Pengurus Besar KMIKT, Salina Long, menyatakan bahawa ini merupakan kali pertama pihaknya bekerjasama dengan Pusat Khidmat ADUN Batu Buruk dalam program sebegini.

“KMIKT sentiasa proaktif dalam menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat setempat. Kami berharap program seperti ini dapat diperluaskan lagi pada masa akan datang,” ujarnya.