Home Berita PAS Wilayah

15 keluarga B40, M40 terima Bantuan Prihatin Negara

118
SHARE

Oleh WAN SYAHIRAH

WANGSA MAJU, 17 Ogos: PAS Kawasan Wangsa Maju dengan kerjasama PAS Cawangan Kampung Sungai Mulia, Pertubuhan Kebajikan Maju Sejahtera dan Masjid Zaid bin Harithah telah menyampaikan Bantuan Prihatin Negara kepada 15 keluarga 14 Ogos lalu.

Bantuan berkenaan disampaikan di masjid berkenaan bertujuan mengeratkan hubungan dengan masyarakat di samping menjadi ruang mendapatkan maklumat tentang permasalahan setempat.

Yang Dipertua PAS Kawasan Wangsa Maju, Ustaz Abdul Rani Mohamed Daud ketika menyampaikan sumbangan berkenaan mengingatkan bahawa pandemik ini ialah asbab Allah untuk menguji hambaNya akan kekuasaanNya.

“Rakyat diminta bertenang walaupun dengan keadaan politik negara yang tidak stabil. Sama-sama kita warga Wangsa Maju ini berdoa dan bersatu hati melawan COVID-19.

“Jika PRU-15 diadakan nanti, pilihlah calon yang mempunyai kredibiliti yang terbaik,” ujarnya.

Turut hadir ialah Setiausaha PAS Kawasan Wangsa Maju, Hairul Anuar, Ketua PAS Cawangan Kampung Sungai Mulia, wakil ahli jawatankuasa Masjid Zaid bin Harithah dan Pertubuhan Kebajikan Maju Sejahtera.