Home Berita PAS Pusat

1441 Hijriyyah Cabaran Dan Harapan Dunia Islam

681
SHARE

Umat Islam di seluruh dunia akan menyambut tahun baru Hijrah kali ini dalam keadaan diselubungi pelbagai ujian dan cabaran. Baik di timur mahupun barat, umat Islam berdepan dengan cabaran yang paling getir dalam sejarah ketamadunan dan peradaban Islam sejak Islam mula bertapak di bumi Makkah Al Mukarramah. Dekad ini, Dunia Islam berdepan dengan dua cabaran paling utama:

Pertama: Cabaran Aqidah. 

Allah memerintahkan anbiya untuk memperbetulkan aqidah kaum masing-masing terlebih dahulu sebelum diperbetulkan cara hidup mereka kerana aqidah adalah asas utama keimanan setiap insan. Maka jika betul dan tetapnya aqidah maka akan betullah kompas kehidupan umat manusia.

Setiap Nabi berdepan dengan cabaran aqidah pada zaman dan tempat masing-masing. Sebagai contoh, cabaran aqidah di zaman Nabi Nuh a.s ialah syirik menyembah berhala. Adapun cabaran aqidah di zaman Nabi Musa a.s pula ialah syirik menyembah manusia bernama Firaun yang mengaku dirinya adalah Tuhan. Nabi Muhammad s.a.w pula berdepan dengan pelbagai bentuk cabaran aqidah, ada manusia yang menyembah berhala dan ada juga manusia yang syirik terhadap Allah dengan mengambil hukum dan peraturan yang tidak diizinkan oleh Allah S.W.T.

Setelah wafatnya Nabi Muhammad s.a.w, umat Islam berdepan pula dengan cabaran aqidah di zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar r.a. yang baru saja dipilih menjadi khalifah iaitu gejala riddah di kalangan qabilah Arab yang mengikut nabi-nabi palsu dan tidak mahu menunaikan kewajipan membayar zakat. Saidina Abu Bakar telah berjaya mendepani cabaran ini dan mengembalikan umat Islam ke landasan ajaran Islam sebenar.

Selepas tamatnya zaman Khulafa Ar – Rasyidin, umat Islam berdepan dengan cabaran-cabaran baru dengan wujudnya aliran-aliran pemikiran yang sesat hasil daripada gerakan penterjemahan buku-buku falsafah ketuhanan Greek, India dan lain-lain lagi. Maka lahirnya aliran Qadariyyah, Muktazilah, Jahmiyyah dan seumpamanya. Cabaran-cabaran ini berjaya dibendung hasil dari perjuangan ulama-ulama seperti imam empat mazhab, Abu Alhasan Al Asyari, Al Maturidi dan ulama yang sezaman mereka.

Pelbagai zaman berlalu sehinggalah umat Islam berada di zaman yang paling lemah dalam sejarah mereka iaitu zaman pasca kejatuhan Khilafah Islam terakhir iaitu Uthmaniyyah yang berakhir pada tahun 1918. Zaman ini disifatkan oleh Al-Allamah Abu Al-Hasan Ali An-Nadawi sebagai zaman kemurtadan umat Islam dalam keadaan tidak disedari dan tiada yang mampu membendungnya sebagaimana kejayaan Saidina Abu Bakar berjaya membendung riddah di zamannya.

Dunia Islam di zaman ini dijajah dan dibahagikan sesama musuh-musuh Islam melalui perjanjian-perjanjian kuasa-kuasa besar dunia seperti Perjanjian Syke-Picot, Perjanjian Balfour, Perjanjian Pangkor dan lain-lain lagi. Tujuan perjanjian – perjanjian ini tiada lainnya untuk melemahkan kesatuan umat Islam dengan memisahkan mereka mahupun menjarakkan mereka kerana telah disedari bahawa kekuatan utama umat Islam akan berada di kemuncaknya jika mereka bersatu padu dan berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar.

Hari ini Dunia Islam berdepan dengan cabaran-cabaran baru dari sudut aqidah, di antaranya penularan wajah baru Sekularisma yang bertopengkan nama-nama Islam seperti Islam Liberal, Islam Moderate, Islam Pluralism dan seumpamanya yang tidak jauh beza dengan sebelumnya. Kesemua fahaman ini meletakkan matlamat utamanya ialah untuk memisahkan ugama dari cara hidup.

Dr Yusuf Al-Qaradhawi menyifatkan gejala ini dalam satu tulisannya dengan “Al-Isti’mar Al-Istilahi” (Penjajahan dari sudut istilah), iaitu hanya mempergunakan nama Islam tetapi hakikatnya adalah racun yang merosakkan aqidah dan akhlak umat Islam. Jika diteliti dari pengalaman mahupun kisah lalu, gejala yang berlaku ini adalah sebahagian daripada perancangan musuh-musuh Islam khususnya gerakan Freemason yang didalangi oleh Zionis untuk menghancurkan umat Islam dari dalam sebagaimana kejayaan mereka melucutkan kerajaan Islam Uthmaniyyah di atas nama kebangsaan dan perkauman satu ketika dahulu.

Gerakan-gerakan ini makin berkembang dengan menggunakan perjuangan hak asasi manusia sebagai pentas untuk mengemukakan agenda mereka di atas nama kebebasan dan kesamarataan maka wujudlah kumpulan-kumpulan dan individu-individu yang dipergunakan oleh musuh-musuh Islam memperjuangkan hak semua ugama dengan menyisihkan hak Islam sebagai ugama yang lengkap dan syumul. Mereka juga membela golongan-golongan songsang kononnya di atas nama hak asasi manusia walaupun golongan ini melakukan perbuatan terkutuk dan di laknat Allah SWT di mana binatang yang tidak mempunyai akal fikiran pun tidak melakukannya. Mereka juga memperjuangkan hak wanita kononnya di atas nama kesamarataan walaupun sebenarnya ia jauh tersasar dari landasan Islam dan fitrah wanita.

Kedua: Cabaran Politik. 

Dunia Islam senantiasa menjadi idaman kuasa-kuasa besar dunia kerana mempunyai kelebihan mahupun keistimewaan yang tidak ternilai berbanding dunia yang lain samada lokasinya yang strategik ataupun kekayaan hasil buminya yang begitu banyak dan tidak ternilai harganya.

Dinamika politik dunia meletakkan Dunia Islam di persimpangan mahupun peralihan peradaban dan ketamadunan dunia. Penganalisa politik dunia meramalkan dalam masa terdekat akan timbul kuasa-kuasa baru dunia yang pelbagai, bukan lagi kuasa besar tunggal seperti Amerika Syarikat yang dilihat sudah berada di penghujung usianya atau dua kuasa besar dunia sebagaimana zaman perang dingin antara Amerika Syarikat dan Soviet Union. Kemunculan semula Rusia dan negara-negara yang pernah melakar sejarah ketamadunan manusia dahulu seperti China, India, Iran dan Turki meletakkan dunia di ambang pertembungan konflik besar-besaran. Sudah tentu Dunia Islam akan menjadi pentas pertembungan dan medan bagi merealisasikan agenda masing-masing untuk meluaskan pengaruh mahupun kekuasaan di serata pelusuk dunia.

Perkembangan terkini yang berlaku menunjukkan Dunia Islam masih diselubungi dengan pelbagai konflik samada ianya adalah ciptaan musuh-musuh Islam atau disebabkan kelemahan yang ada di dalam diri mereka sendiri yang tidak berkesudahan. Konflik di Timur Tengah dijangka akan terus bergolak, pertembungan antara Israel dan Iran dijangka akan berlaku secara terbuka walaupun hakikatnya ianya sudah bermula melalui proksi masing-masing.

Israel merasa terancam kerana kegagalannya mengatur strategi dalam konflik Syria sehingga mengukuhkan lagi penentang-penentangnya. Akibatnya, Israel sudah dilihat cuba memperkuatkan kedudukannya dengan melancarkan beberapa serangan di lokasi strategik di Timur Tengah. Abdul Bari Atwaan, seorang penganalisa politik Timur Tengah menyifatkan konflik yang berlaku di Timur Tengah meletakkan negara-negara di dalamnya terbahagi kepada dua kem. Kem naturalisasi atau mesra dengan Israel iaitu Arab Saudi, UAE, Bahrain dan Mesir dan kem perjuangan yang menentangnya pula iaitu Turki, Iran, Qatar dan proksi masing-masing iaitu HAMAS, Hizbullah, Ansarullah di Yaman dan Alhasyd Al-Sya’abi di Iraq.

Konflik India dan Pakistan dalam isu Kashmir juga dijangka akan berlanjutan khususnya dengan tindakan terbaru yang diambil oleh India yang membatalkan Artikel 370 yang jelas melanggar perjanjian yang dipayungi oleh Pertubuhan Bangsa – Bangsa Bersatu. Tindakan India ini dilihat permulaan kepada strategi baru untuk menguasai sepenuhnya Jammu Kashmir dengan menterjemahkan strategi sama yang digunakan oleh Israel dengan merampas dan membina penempatan-penempatan baru Yahudi di bumi Palestin. Teori ini dikuatkan lagi dengan hubungan yang bertambah akrab di antara India dan Israel sejak akhir – akhir ini. Justeru tidak mustahil langkah seterusnya yang akan diambil oleh India ialah membawa seramai mungkin rakyatnya yang berugama Hindu untuk menghuni wilayah Jammu Kashmir. Persoalannya adakah Pakistan akan berdiam diri dengan tindakan ini ?

Baru-baru ini PAS melalui Lujnah Hal Ehwal Antarabangsa telah mengadakan Sidang Meja Bulat Isu Kashmir yang dihadiri oleh tokoh-tokoh dalam dan luar negara khususnya Abdul Rasheed Turabi, ahli parlimen dari Azzad Kashmir bagi mencari solusi terbaik untuk menyelesaikan isu ini. Walaupun hanya dianjurkan oleh sebuah gerakan Islam yang begitu jauh dari bumi Kashmir tetapi ia menunjukkan kesungguhan PAS dalam isu-isu umat Islam di saat kelesuan pertubuhan-pertubuhan yang memayungi Dunia Islam. Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapannya menegaskan betapa penting hak Kashmir dikembalikan dan menjadi tanggungjawab kepada umat Islam untuk bersatu dalam isu ini dan mengharapkan agar negara-negara Islam mencari penyelesaian yang sewajarnya.

Namun jauh dari pandangan umum ialah Afrika di mana terdapat juga cabaran besar yang menanti umat Islam di sana. Di sebalik negara tersohor di benua Afrika seperti Mesir, Libya dan Algeria yang acapkali terpalit dengan konflik samada dari dalam negara itu sendiri mahupun luar, benua Afrika yang mempunyai populasi besar umat Islam tidak lari dari konflik yang berlaku seperti Sudan, Nigeria dan beberapa negara lagi. Negara – negara ini bukan sahaja mempunyai lokasi dan kepentingan strategik di benua itu sendiri tetapi mempunyai hasil bumi yang banyak seperti minyak dan gas, emas dan berlian.

Negara – negara Islam di benua Afrika ini juga tidak dapat lari dari pertembungan geo strategik politik dunia yang melibatkan kuasa – kuasa besar dunia kerana selain daripada hasil bumi yang lumayan yang sudah dijarah sekian lama, kuasa – kuasa besar dunia juga dilihat mencari tapak di dunia yang hampir dilupakan ini. Perkembangan ekonomi yang baik sejak dekad lalu di benua ini menarik minat kuasa – kuasa besar dunia berlumba – lumba untuk mencari tapak dan rakan strategik. Secara senyap, Afrika mula dilihat sebagai dunia baru yang perlu diterokai dan diambil peluang atas kelemahan mereka. Baik Amerika Syarikat, Eropah, Russia, China mahupun Israel sudah mula menabur wang di Afrika dalam jumlah yang cukup besar.

Seperti yang berlaku di Timur Tengah, tidak semua negara yang kaya dengan hasil minyak dan gas akan memberi manfaat kepada rakyatnya. Walau kaya dengan hasil bumi, rakyat di benua Afrika masih melarat dan dalam keadaan yang cukup daif. Peperangan di antara puak, perebutan hasil bumi, sempadan dan negara masih membelenggu rakyat Afrika. Syarikat Multinasional kuasa besar mengambil peluang ini dengan menjarah hasil bumi negara – negara terbabit. Umat Islam di benua Afrika sekali lagi terpinggir dan disisihkan. Umat Islam di Afrika perlu sedar dan bangkit dari kelekaan, sudah sampai masanya Islam kembali megah di Afrika di mana Islam dan Afrika tidak dapat di pisahkan kerana hijrah pertama Nabi Muhammad SAW ialah Habsyah yang dikenali sekarang sebagai Eitopia.

Tahun 1441 Hijriyyah menjadi tahun yang sangat mencabar kepada Dunia Islam yang masih lagi berada dalam kabus-kabus abad kegelapan bermula dari pertengahan abad 13 Hijrah sehingga ke saat ini, namun di hujung sana tetap ada cahaya kemenangan menanti yang telah menunjukkan tanda-tandanya. Telah muncul tanda jelas wujudnya kesedaran dan kebangkitan di kalangan umat Islam dari kelekaan dan tidur yang lena. Kelekaan habuan dunia dan tipudaya musuh sejak sekian lama telah menyedarkan umat Islam bahawa mereka telah hanyut dari landasan peradaban dan ketamadunan Islam yang sebenar dan gemilang.

Dunia Islam perlu bersatu padu dan berkerjasama samada dari sudut politik mahupun ekonomi untuk bersinar kembali. Sudah cukup lama umat Islam terbelenggu dan bercelaru terutamanya sejak zaman kejatuhan Khalifah Uthmaniyyah. Sampai masanya Islam kembali gemilang dan terbilang dan umatnya kembali kepada ajaran Islam yang sebenar serta keluar dari kegelapan mahupun kesesatan. Islam tidak akan kuat jika berpecah mahupun bercerai berai. Mari kita ambil iktibar Hijrah Nabi Muhammad s.a.w ke Madinah, bagaimana baginda menyatukan kaum Muhajirin dan Ansor seterusnya membentuk Kerajaan Islam pertama di dunia yang menjadi asas kepada seluruh sejarah ketamadunan dan peradaban Islam. Bangkitlah Umat Islam, jadilah tahun baru Hijrah ini keazaman baru untuk menyinari kembali Dunia Islam.

YB Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Hubungan Luar dan Antarabangsa PAS Pusat.
ADUN Batu Burok.