HULU TERENGGANU – Seramai 141 peserta telah menghadiri Kursus Pra-Perkahwinan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir yang berlangsung selama dua hari berakhir Sabtu lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun berkata, program tersebut menjadi medium pendedahan terbaik kepada golongan muda sebelum melangkah ke alam rumah tangga.
Menurutnya, peserta hanya dikenakan yuran sebanyak RM80 seorang, manakala kos makan minum dan kemudahan lain ditanggung penganjur dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) serta belia dan beliawanis DUN Manir.
“Saya berpuas hati dengan sambutan kali ini kerana jelas menunjukkan golongan belia bijak mengambil peluang yang disediakan.
“Tujuan utama penganjuran adalah untuk memberi kemudahan dan meringankan beban anak muda yang belum berkahwin bagi mendapatkan sijil perkahwinan dengan tempat yang lebih dekat.
“Semoga kursus ini mampu membimbing peserta menghadapi cabaran rumah tangga dengan berpandukan ilmu serta panduan yang diperolehi sepanjang program,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutup kursus berkenaan di Dewan Kompleks AL-KAWTHAR, Kubang Lembek, semalam.
Beliau turut menasihati pasangan muda agar terus menimba ilmu melalui majlis-majlis agama bagi memastikan mahligai yang dibina diberkati Allah SWT serta melahirkan keluarga sakinah, mawaddah wa rahmah.
“Insya-Allah pihak kami akan merancang penganjuran kursus seperti ini pada setiap tahun agar lebih ramai masyarakat dapat mengambil manfaat daripada pengisian yang bermanfaat,” tambahnya.