Home Berita PAS Perak

14,000 terima sumbangan “Jom Ke Sekolah” Yayasan Taqwa seluruh Malaysia”

314
SHARE


Oleh: Jaudin M Amin

BUKIT GANTANG : Seramai 14,000 pelajar daripada golongan asnaf seluruh Malaysia menerima sumbangan Yayasan Taqwa pada tahun ini melibatkan peruntukan sebanyak RM2.38 juta.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Haji Idris Haji Ahmad berkata daripada jumlah itu, seramai 300 pelajar sekolah rendah dari seluruh Parlimen Bukit Gantang telah dipilih menerima sumbangan tersebut yang akan disalurkan melalui NGO Pertubuhan Khadijah Prihatin.

“Pemberian sumbangan bernilai RM170.00 bagi setiap pelajar merangkumi pakaian seragam dan beg sekolah diharapkan dapat meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarga asnaf dalam menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak pada sesi kali ini.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Penyampaian sumbangan “Jom Ke Sekolah” anjuran Yayasan Taqwa di Dewan Tuan Guru Haji Ahmad Yunus, Kampung Bukit Chempedak dekat sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Yayasan Taqwa, Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa, Haji Zabidi Nasan dan Pengerusi Pertubuhan Khadijah Prihatin, Hajjah Norzuhrah Abu Bakar.

Menerusi Yayasan Taqwa yang dimiliki sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), pelbagai program diatur bagi membantu masyarakat yang memerlukan bukan sahaja di Wilayah Persekutuan malah ke seluruh negara.

“Selaras dengan misi pertubuhan tersebut iaitu Dakwah, Kebajikan dan Pendidikan, Yayasan Taqwa bersama agensi-agensi di bawah Hal Ehwal Agama turut menyalurkan sumbangan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ketika bencana banjir baru-baru ini”, ujarnya.

Pada majlis tersebut, Penasihat Pertubuhan Khadijah Prihatin, Haji Rahim Ismail menerima sumbangan bernilai RM51,000 daripada Yayasan Taqwa untuk menyalurkan bantuan persekolahan di Parlimen Bukit Gantang.

Sementara itu, penerima sumbangan melahirkan rasa syukur dan penghargaan di atas sumbangan yang diterima pada program tersebut.

Mohamad Zaki Abas, 39, mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Taqwa di atas pemberian tersebut yang sedikit sebanyak meringankan pebelanjaan awal persekolahan anaknya, Nur Arissa Mohd Zaki,7.

“InsyaAllah Nur Arissa akan memulakan persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sultan Abdullah, Kampung Cheh. Dengan sumbangan ini, dia tentu lebih bersemangat untuk melangkah ke alam persekolahan dan meringankan tanggungan saya yang sekadar bekerja sendiri”.

Zunaida Ibrahim, 53, meluahkan rasa gembira di atas sumbangan yang diterima anak saudaranya, Muhammad Rifhan Helmi Mohamad Razali,8, murid Tahun 2 Sekolah Kebangsaan Raja Abdullah, Kampung Cheh.

“Saya mewakili Muhammad Rifhan sekeluarga mengucapkan ribuan terima kasih di atas sumbangan yang diterima dan didoakan agar para penyumbang beroleh kerahmatan dan kesejahteraan Ilahi.

“Mereka tidak dapat hadir ke majlis hari ini kerana menjalani kuarantin kendiri sejak beberapa hari lalu”, tambahnya.