KUALA TERENGGANU – Seramai 130 orang dari keluarga yang kurang berkemampuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar menerima bantuan Aidilfitri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata kesemua mereka diraikan dalam majlis di Mydin Mall pagi semalam.
Katanya, pihak pejabat DUN telah memberikan sumbangan wang tunai untuk membeli pakaian bagi menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
“Walaupun kerajaan negeri Terengganu tidak semewah tahun lalu akibat royalti yang belum dilunaskan oleh kerajaan pusat.
“Namun, kita tidak pernah mengabaikan golongan mereka (asnaf) dan semoga Allah terima segala amalan kita pada bulan ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri di Mydin Mall petang semalam.
Tambah Ahmad Shah, program ini merupakan anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Bandar.
“Saya berharap majlis meraikan anak-anak ini sedikit sebanyak akan menceriakan dan menggembirakan sambutan Syawal yang menjelang tiba,” ujarnya.