Oleh: Fatiha Mohamad
10 Jun 2025
Kinabatangan: Sebanyak 13 ekor lembu dikorbankan dalam Program Korban anjuran PAS Kawasan Kinabatangan yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut di lapan buah kampung sekitar DUN Lamag.
Kampung yang terlibat ialah Perpaduan, Warisan, Sinar Jaya, Nusa Jaya, Sri Tanjung, Sri Manis, Sungai Lokan dan Jaya Baru. Program ini mendapat kerjasama baik daripada penduduk dan sukarelawan tempatan.
Ketua Pemuda PAS Kawasan Kinabatangan, Jumaidin Lakalla, berkata ibadah korban kali ini bukan sekadar amalan tahunan tetapi peluang untuk muhasabah diri dan menilai sejauh mana kita sanggup berkorban demi orang lain.
“Korban bukan sekadar sembelih haiwan tapi tentang sanggup lepaskan apa yang kita sayang. Kita kena tanya apa ‘Ismail’ yang kita boleh korbankan?” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dan mengajak masyarakat untuk mula menyimpan dari sekarang bagi korban tahun depan.
Program ini juga turut mempererat hubungan masyarakat serta menyemai semangat gotong-royong dan prihatin dalam komuniti setempat.