Home Berita PAS Pahang

Kenaikan harga minyak padam kegembiraan rakyat

709
SHARE

TEMERLOH : PAS Temerloh mendakwa kenaikan harga petrol serta barang keperluan lain akan menyulitkan kehidupan rakyat marhaen.

Yang Dipertua PAS Temerloh, Haji Jusoh Darus berkata, sebaik sahaja ibu segala bajet diumumkan perdana menteri, rakyat sudah mula merasai kesannya iaitu kenaikan harga petrol sebanyak 7 sen seliter.

Menurutnya, dengan kenaikan harga runcit petrol itu sekali gus memadamkan kegembiraan rakyat terhadap bajet yang dikatakan mengutamakan kepentingan rakyat.

“Dalam bajet itu, menteri kewangan menyebut Bajet 2018 sebagai ibu kepada segala bajet tetapi peruntukkan yang dikatakan untuk rakyat itu sebenarnya lebih kepada golongan tertentu sahaja. Antara yang mendapat manfaat ialah ketua kampung, imam, bilal, siak dan Tok Batin.

“Sasaran sebenar sepatutnya adalah kepada rakyat, bukan petugas kerajaan atau pemimpin masyarakat,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, kini timbul desas-desus kenaikan harga gas pula jika benar dakwaan tersebut ia akan memberi kesan besar kepada penduduk kerana gas adalah bahan keperluan semua.

Haji Md Jusoh mengulas laporan media berbahasa Cina yang mendedahkan kemungkinan akan berlaku kenaikan harga gas.

Bagaimanapun kerajaan menafikan wujud kenaikan harga gas dan menyalahkan pihak media yang menyebarkan berita palsu.

Haji Md Jusoh berkata, beliau tidak menolak kemungkinan berlakunya kenaikan harga bahan (gas) tersebut berikutan kenaikan kos penghantaran akibat kenaikan harga minyak.

“Berikutan kenaikan minyak, kos pengangkutan juga akan meningkat, pembekal tentunya tidak mempunyai jalan lain selain terpaksa menaikkan harga,” katanya.

Haji Md Jusoh yang Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang menggesa kerajaan mengembalikan semula subsidi harga petrol dan diesel serta gas dan menghapuskan GST ke atas bahan tersebut.

Katanya, ia penting untuk mengawal kenaikan harga barangan di pasaran