KUALA TERENGGANU – Sebanyak 114 acara berteraskan tradisi dan budaya telah berlangsung sepanjang penganjuran ‘Temasya Tranung Kita’ (TEGAK) 2025 yang diadakan di Pulau Warisan, Kuala Terengganu semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, penganjuran acara-acara tersebut memeriahkan lagi sektor pelancongan sekali gus memberi manfaat kepada ekonomi rakyat setempat.
“Antara acara yang memeriahkan TEGAK 2025 termasuk persembahan gamelan, pertunjukan wau, sukan rakyat, pameran kraf tangan, demonstrasi masakan tradisional serta pelbagai lagi.
“Kita mahu TEGAK menjadi platform untuk mengangkat seni, budaya dan warisan Terengganu ke peringkat lebih tinggi, selain memperkenalkan negeri ini sebagai destinasi pelancongan budaya yang menarik,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media program TEGAK 2025 bertempat di Pulau Warisan, Kuala Terengganu di sini semalam.
Program tersebut turut disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dalam usaha memartabatkan seni dan warisan negeri.
Razali berkata, penganjuran itu bukan sahaja menghiburkan pengunjung, malah menjadi platform penyatuan masyarakat pelbagai generasi melalui seni dan budaya.
“Kita mahu rakyat Terengganu terus berbangga dengan warisan yang kita ada dan bersama-sama memelihara kelestariannya untuk generasi akan datang.
“Insya-Allah, pada tahun depan program ini akan diperluas di peringkat daerah supaya dapat melibatkan lebih ramai masyarakat seperti tahun lepas ia berlangsung di Kuala Berang, manakala tahun ini di Kuala Terengganu,” ujarnya.