KUALA NERUS – Lebih 10,000 pemilik motosikal Yamaha Y15ZR (Y Suku) dan Yamaha Y16ZR (Y16) dari seluruh negara membanjiri Litar Permotoran Gong Badak semalam sempena penganjuran Cara Geng Y Members 2.0 yang berlangsung dengan penuh meriah.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, Kerajaan Negeri Terengganu amat mengalu-alukan kehadiran peserta yang datang dari pelbagai negeri untuk menyertai acara komuniti permotoran tersebut.
“Terima kasih atas kehadiran semua pemilik Y Suku dan Y16 ke negeri Terengganu. Semoga segala urusan permusafiran sepanjang berada di sini dipermudahkan oleh Allah SWT,” katanya ketika hadir menyantuni peserta.
Menurut beliau lagi, pihak kerajaan berharap setiap peserta yang hadir menerima layanan baik daripada rakyat Terengganu serta membawa pulang kenangan manis sepanjang berada di negeri ini.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada penganjur kerana berjaya menganjurkan program tersebut untuk kali kedua, serta berharap agar sebarang kelemahan sebelum ini telah diperbaiki.
“Sekiranya Terengganu terus menjadi tuan rumah pada masa akan datang, kita harap penganjuran ini dapat dipertingkatkan lagi dan mampu memberikan pengalaman terbaik kepada semua peserta,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian penutup program, turut diserikan dengan hadiah cabutan bertuah utama berupa sebuah kereta jenama Range Rover, lima buah motosikal Y Suku dan Y16, serta pakej melancong ke Turki dan mengerjakan umrah.
Dalam ucapannya, Hishamuddin turut menitipkan nasihat agar para peserta sentiasa menjaga adab, tatasusila dan mematuhi peraturan jalan raya sepanjang perjalanan pulang ke destinasi masing-masing.
“Sepanjang bermusafir, carilah masjid atau surau untuk kita jadikan tempat sujud kepada Allah sebagai tanda kehambaan.
“Mudah-mudahan ia menjadi saksi di hari akhirat bahawa kita pernah singgah ke rumah Allah SWT ketika berada di negeri Terengganu, dan melabuhkan dahi merendah diri kepada-Nya, sebagai tanda kepatuhan kepada Pemilik segala-galanya,” ujarnya.