Oleh: Mahfudzah
07 Mei 2025
SEPANGGAR: Dewan Muslimat PAS Kawasan Sepanggar telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-13 dengan jayanya bertempat di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah, Kota Kinabalu pada Ahad baru-baru ini.
Mesyuarat yang bertemakan Generasi Sejahtera Merintis Kemenangan itu dihadiri oleh lebih 100 orang perwakilan dan pemerhati dari seluruh kawasan Sepanggar.
Pengarah Pilihan Raya Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah, Nusaibah Bunari dalam ucapan perasmiannya menekankan tiga asas utama yang perlu diutamakan oleh setiap muslimat iaitu Islam, Iman dan Ikhlas.
“Muslimat PAS harus meningkatkan kesabaran dalam menempuh perjalanan perjuangan dan sentiasa teguh berdiri bersama jemaah meskipun berdepan dengan pelbagai ujian dunia,” katanya.
“Mesyuarat Agung Tahunan ini dilihat sebagai platform penting bagi Dewan Muslimat PAS Kawasan Sepanggar untuk memperkukuhkan saf kepimpinan, merancang strategi gerakan yang lebih berkesan, serta memastikan setiap ahli terus istiqamah dalam perjuangan demi mencapai kemenangan dan kesejahteraan generasi,” tambah beliau lagi.
Tujuh perwakilan cawangan menyampaikan ucapan penggulungan muktamar dengan memberikan pandangan yang membina ke arah penambahbaikan kepimpinan yang akan datang, serta muhasabah gerak kerja sesi yang lepas.
Turut hadir ahli jawatan kuasa PAS Kawasan Sepanggar, Hasruddin Syamsuddin dan ahli jawatan kuasa Pemuda PAS Kawasan Sepanggar, Mohamad Idris Mohammad.