Oleh: Asrenna Yun
7 November 2023
KOTA BELUD: Sebanyak 100 buah keluarga asnaf dan warga emas telah menerima bantuan bakul makanan di sini, berakhir tengah hari kelmarin.
Program Ziarah Dakwah anjuran Lajnah Kebajikan PAS negeri Sabah dengan kerjasama Lajnah Kebajikan PAS Kawasan Kota Belud itu mengambil masa selama dua hari untuk diziarahi yang melibatkan dua buah kampung iaitu Kg. Kuala Abai dan Kg. Kulambai Kupang.
Sumbangan berbentuk keperluan bahan dapur seperti beras, gula, tepung, minyak masak, makanan tin, kicap, mi dan keperluan solat sejadah serta telekung telah disampaikan kepada para penerima.
Sumbangan bakul makanan dan kerusi roda buat mangsa kebakaran serta pesakit OKU terlantar disampaikan oleh ADUN Lantikan Sabah, Dr Aliakbar Gulasan, merangkap Pesuruhjaya PAS Sabah.
Salah seorang penerima, Dindong Satoh, 90 mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang, PAS Sabah dan PAS Kota Belud atas sumbangan kerusi roda yang diberikan.
Selain itu, pelbagai aktiviti menarik seperti kursus pengurusan jenazah, pertandingan azan kanak-kanak, pertandingan bacaan Al-Fatihah, pertandingan mewarna dan ceramah agama turut diadakan.
Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Sabah, Abdul Muein Mohd Noor, berkata program ini bukanlah pertama kali diadakan di Kota Belud.
“Ini merupakan misi kali kedua kami di daerah Kota Belud. Mudah-mudahan segala sumbangan yang disampaikan dapat meringankan beban buat semua penerima,” katanya.
Turut hadir bersama, Timbalan 1 LKKPS Nur Izzati Yusof serta pimpinan PAS Kawasan Kota Belud.