Home Berita PAS Terengganu

10 ‘Bapa Culas’ dipenjara di Terengganu

42
SHARE

KUALA TERENGGANU – Sejak tahun 2012 sehingga tahun 2024 , seramai 10 ‘bapa culas’ dipenjarakan akibat gagal melunaskan pembayaran nafkah anak-anak sebagaimana diperintahkan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, YAA Dato’ Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata, hukuman tersebut dilaksanakan jabatan sebagaimana diperuntukkan dalam Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001.

“Orang yang hendak (diperintahkan) dihantar ke penjara ini ramai, tetapi apabila kita ingin hantar ke penjara tiba-tiba dia boleh bayar, jadi sepuluh orang tadi ialah yang betul-betul tidak mahu bayar dan masuk ke penjara.

“Kita ikut apa yang ada dalam peruntukan undang-undang, diantaranya dipenjarakan dan sudah ada yang dipenjarakan kerana gagal membayar nafkah itu. Dalam masa sama juga, bagi yang bekerja kerajaan kita buat bentuk potong gaji, itu peruntukan yang ada.

“Dalam menentukan berapa jumlah patut bayar ini, mahkamah telah mengambil kira dari segi keperluan anak dan kemampuan bapa jadi keputusan yang dibuat mahkamah ialah satu keputusan yang bapa mampu bayar. Cuma, masalah sekarang ialah berlaku keculasan membayar apabila telah mendapat perintah,” katanya.

Beliau berkata demikikan kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Literasi Undang-undang dan Program Penyampaian Bantuan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) siri 1 bagi tahun 2025 di Jabatan Kehakiman Syariah, di sini hari ini.

Menurut beliau, ada juga perintah yang telah mendapat persetujuan bersama walaupun begitu tetap berlaku keculasan, jadi bentuk pelaksanaan perintah yang ada daripada mahkamah syariah, sama ada bagi sebulan tidak bayar nafkah boleh dipenjarakan sehingga sebulan dan dibuat potongan gaji di bawah Tahanan Tenaga Pendapatan.

“Biasanya, hakim tidak beri sehingga sebulan cuma kita perintahkan, sebab apabila ingin dipenjarakan mereka terus bayar,” tambahnya.

Wan Mohd Zakri memaklumkan, dalam pemerkasaan syariah bukan sahaja perkara terlibat jenayah tetapi juga isu pematuhan perintah mahkamah yang menjadikan kesalahan suami atau isteri tentang pematuhan arahan mahkamah merupakan satu perkara yang serius dan tidak boleh dipandang mudah.

Dalam program berkenaan, seramai 21 ibu tunggal menerima bantuan nafkah dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM46,000 yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan, mewakli agensi yang menjadi penyumbang utama usaha berkenaan.

Dalam pada itu, Dr. Muhammad Khalil menyokong usaha dilakukan BSK dalam membantu ibu-ibu tunggal semasa tempoh prosiding mahkamah.

“Sekurang-kurangnya ia boleh mengurangkan beban mereka. Kita di bawah kerajaan negeri memiliki banyak agensi dan jabatan yang mengambil bahagian dalam memberi kebajikan kepada rakyat khususnya fakir miskin.

“Kalau di peringkat persekutuan ada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kita ada Tabung Darul Iman. Ini salah satu (usaha) yang kita gabung jalinkan semua. Program ini adalah program tahunan yang mana kalau ikut tahun ini jumlahnya lebih ramai, cuma penerima hari ini dalam kategori fakir miskin seramai 21 orang,” katanya.

“Selain itu, antara mekanisma yang kita ambil di pihak kerajaan negeri bermula tahun ini ialah kita mengadakan karnival indahnya hidup bersyariat.

“Karnival ini melibatkan bayak agensi dan jabatan dengan salah satunya kita memberi pengisian dalam topik dan tajuk tertentu untuk beri kesedaran kepada masyarakat termasuk isu-isu yang bekait dengan pengurusan keluarga, talak cerai, nafkah anak dan seumpamanya,” katanya.