Home Berita PAS Wilayah

PAS Labuan sahut harapan Badan Perhubungan PAS WP

703
SHARE

Oleh : Jenno Jamil

ISNIN, Labuan – PAS Labuan hadir ke Konvensyen PAS Wilayah Persekutuan (WP) dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS WP anjuran Badan Perhubungan PAS WP (BPPWP) secara dalam talian (online) di sini kelmarin.

Turut hadir bersama adalah Yang Dipertua PAS Kawasan Labuan, Hj Hamir bin Hj Zahari, Timbalan Yang Dipertua, Ustaz Ahmad Junid bin Mohd Aling, Naib Yang Dipertua, Hj Abdul Rahim bin Hj Mohd Salleh, Pengarah JPRP, Encik Zul Afham bin Zulkifli serta saf kepimpinan JPRP yang lain.

Antara objektif program ini adalah untuk memperkukuhkan jentera pilihan raya PAS di peringkat WP dari pelbagai sudut untuk memastikan kemenangan Muafakat Nasional pada PRU yang akan datang. Tambahan pula, program ini adalah sebagai langkah awal dalam persediaan jentera pilihan raya di peringkat WP dalam menghadapi pilihan raya kelak.

Yang Dipertua menyambut baik tindakan dan langkah awal oleh pihak BPPWP dengan mengadakan program sebegini.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada pihak BPPWP atas kejayaan melaksanakan program ini dengan jayanya. Ia sedikit sebanyak memberikan motivasi dan persediaan awal PAS kawasan Labuan dalam mendepani PRU yang akan datang,” ujar beliau.

Haji Hamir juga berharap agar jentera pilihan raya terus diperkasakan serta persediaan dari sudut fizikal, mental dan terutamanya kerohanian diberi keutamaan. Beliau turut menegaskan agar semua ahli PAS tidak melupakan kebergantungan utama adalah pada Allah SWT.

Pada akhir majlis, sesi penyerahan sijil keahlian baharu PAS Labuan sebanyak 44 orang pada bulan Julai dan Ogos disempurnakan oleh Encik Zul Afham bin Zulkifli mewakili Jabatan Setiausaha (JSU) kepada Yang Dipertua.