1. Dewan Pemuda Pas Kawasan Batu semalam telah berkesempatan untuk menyerahkan satu memorandum bantahan berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (Urban Renewal Act) kepada Ahli Parlimen Batu, YB Tuan Prabakaran.
2. Penyerahan memorandum ini diketuai oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan Batu, Saudara Izzat Ghazali, yang mewakili suara dan kebimbangan rakyat setempat terhadap implikasi RUU tersebut. Memorandum tersebut telah disampaikan kepada pegawai khas Ahli Parlimen Batu, Tuan Hanif bin Yim, sebagai langkah awal menyatakan pendirian rasmi Dewan Pemuda Pas Malaysia terhadap rang undang-undang yang dianggap tidak berpihak kepada kepentingan masyarakat setempat terutama kepada masyarakat melayu di kawasan bandar.
3. Dewan Pemuda PAS Kawasan Batu tidak menolak sebarang usaha pembangunan atau penambahbaikan terhadap infrastruktur dan kemudahan awam. Namun, setiap inisiatif tersebut mestilah dilaksanakan secara adil dan menyeluruh dengan mengambil kira setiap suara serta hak semua lapisan rakyat tanpa sebarang pengecualian.
4. Rang Undang-Undang ini adalah dilihat berpotensi dan boleh menjejaskan hak milik, kestabilan komuniti serta menimbulkan ketidaktentuan terhadap masa depan penduduk Melayu di bandar, khususnya di kawasan padat seperti Batu.
5. Dewan Pemuda PAS Kawasan Batu ingin menegaskan bahawa kelulusan rang undang-undang ini bukan sahaja memberi kesan kepada masyarakat Melayu malah impaknya dijangka turut dirasai oleh seluruh rakyat tanpa mengira kaum, latar belakang pendidikan mahupun pendirian politik yang tidak berkemampuan untuk memenuhi kehendak dan tuntutan pihak pemaju.
6. Kami menuntut agar YB Tuan Prabakaran Parameswaran selaku Ahli Parlimen Batu tampil membawa suara rakyat dengan penuh keberanian dan ketegasan dalam perbahasan Rang Undang-Undang tersebut di Parlimen serta dengan jelas menyatakan penolakan terhadap RUU ini. Dewan Pemuda PAS Kawasan Batu percaya bahawa Parlimen Batu bukan sekadar kerusi legislatif tetapi sebuah suara keramat rakyat khususnya masyarakat Melayu yang menjadi majoriti di tengah-tengah bandar yang sedang pesat membangun. Justeru, tanggungjawab ini tidak boleh dipandang ringan dan perlu digalas dengan penuh integriti serta keberanian politik.
7. Akhir kata, Dewan Pemuda PAS Kawasan Batu mendesak agar kerajaan Madani pada hari ini meneliti semula rang undang-undang ini dengan lebih teliti serta memastikan setiap dasar yang mahu dibawa dan dibentangkan di Parlimen berpaksikan kepada kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
Mohd Syafiq Mohd Safien
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Kawasan Batu