Home Berita PAS Terengganu

𝐈𝐒𝐋𝐀𝐌 𝐃𝐀𝐍 𝐓𝐎𝐋𝐄𝐑𝐀𝐍𝐒𝐈

11
SHARE

Islam adalah agama yang membawa pesan kedamaian, kasih sayang, dan keadilan bagi seluruh umat manusia. Ajaran-ajarannya menekankan pentingnya hidup berdampingan secara harmonis, saling menghormati, dan menjunjung tinggi nilai kemanusiaan, tanpa memandang perbedaan bangsa, agama serta warna kulit.

Kata “Islam” sendiri berasal dari kata “salaam”, yang berarti damai. Salah satu nilai mendasar yang diajarkan dalam Islam adalah tasamuh atau toleransi. Prinsip ini menekankan sikap saling menghargai dan menghormati keyakinan orang lain, selama tidak mengganggu hak dan kewajiban masing-masing.

Sejarah telah membuktikan bagaimana Islam memberikan layanan terbaik kepada orang bukan Islam. Justeru, menjadi hikmah yang besar kepada umat akhir zaman apabila penutup kerasulan itu diutuskan seorang Rasul yang berjaya menegakkan negara dan memerintah dengan ajaran Islam yang sebenar.

Ini bukan sahaja membuktikan kebenaran wahyu al-Quran semata-mata yang meletakkan tujuan penciptaan manusia itu sendiri untuk menjadi khalifah, akan tetapi ia juga menjadi petunjuk kepada seluruh umat Islam sepanjang zaman dalam perkara yang berkaitan dengan pemerintahan dan hidup bernegara.

Firman Allah SWT:

{ وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ }
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu) dengan berkata: “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak mengetahuinya”.
(Surah al-Baqarah: 30)

Menariknya, Nabi Muhammad SAW yang dikurniakan kerajaan dan negara itu telah memerintah dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum dan agama, serta bermasyarakat majmuk, supaya menjadi contoh bagaimana Islam mengatur sistem bermu‘ayasyah (berhubungan hidup) dan bermusyarakah (berkongsi hak) sesama non-Muslim.

Firman Allah SWT:

{ لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ }
Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
(Surah al-Mumtaḥanah)

Bahkan, jika dilihat dalam perlembagaan negara Madinah atau disebut sebagai Sahifah Madinah, secara teknikalnya telah diletakkan perkara yang berkait dengan golongan bukan Islam seakan-akan menyamai halnya dengan orang Islam.

Dalam erti kata lain, ini menggambarkan betapa tingginya nilai toleransi yang diberikan oleh Islam dalam hubungan sesama manusia. Justeru, tidak hairanlah Nabi Muhammad SAW pernah bersabda untuk menggambarkan keprihatinan Islam agar tidak berlakunya diskriminasi atau kezaliman serta penindasan.

Sabda Nabi SAW:

أَلاَ مَنْ ظَلَمَ مُعَاهِدًا ، أَوِ انْتَقَصَهُ ، أَوْ كَلَّفَهُ فَوْقَ طَاقَتِهِ ، أَوْ أَخَذَ مِنْهُ شَيْئًا بِغَيْرِ طِيبِ نَفْسٍ ، فَأَنَا حَجِيجُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: “Ingatlah! Barang siapa menzalimi kafir mu‘ahad, atau menindasnya, atau membebankannya di luar kemampuan, atau mengambil sesuatu daripadanya tanpa kerelaannya, maka aku akan menjadi penghujah baginya pada hari Kiamat”.
(HR Abu Daud)

Oleh itu, kita dapat lihat apabila berlaku sesuatu perselisihan antara sesama insan, Islam sangat mengutamakan perdamaian, tidak kiralah antara sesama Muslim atau sebaliknya. Malah, ketika dalam situasi yang berat sekalipun, seperti peperangan dan seumpamanya, apabila diajak berdamai oleh musuh, maka kita mesti menyahut seruan tersebut.

Ini diajar oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

{ وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ }
Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
(Surah al-Anfāl: 61)

Namun, sudah tentu setiap perkara ada batas dan hadnya. Toleransi yang diberikan itu jangan pula sampai merugikan dan menyebabkan Islam dilihat mudah dipergunakan serta dihina sesuka hati oleh orang lain termasuklah dari dikalangan non-Muslim. Semestinya toleransi itu tidak akan berkesan tanpa kerjasama daripada semua pihak.

Dalam masyarakat yang berbilang bangsa dan agama, sudah tentu salah faham pasti berlaku samada cepat atau lambat. Maka di sinilah memerlukan kepada kedua-dua belah pihak untuk terus mengamalkan sikap bertolak-ansur agar keharmonian dan kemakmuran sentiasa terpelihara.

Usah berlagak sombong dan merasa diri seperti “abang besar”, kerana kelak hanya akan membawa kepada perpecahan dan padah yang berpanjangan serta kerugian kepada bangsa, negara dan ummah.
Itulah petunjuk Islam yang sangat menitikberatkan keadilan, perpaduan dan toleransi, agar dapat dilihat oleh seluruh masyarakat sebagai contoh terbaik dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan yang melanda.

𝙔𝘽 𝙐𝙨𝙩𝙖𝙯 𝙈𝙤𝙝𝙙 𝙁𝙖𝙙𝙝𝙡𝙞 𝙍𝙖𝙝𝙢𝙞 𝘽𝙞𝙣 𝙕𝙪𝙡𝙠𝙞𝙛𝙡𝙞
𝘛𝘪𝘮𝘣𝘢𝘭𝘢𝘯 𝘒𝘦𝘵𝘶𝘢 𝘋𝘗𝘗𝘕𝘛
𝘈𝘋𝘜𝘕 𝘙𝘢𝘯𝘵𝘢𝘶 𝘈𝘣𝘢𝘯𝘨