Merujuk kepada Kenyataan Media Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu bertarikh 17 Mac 2025, Pemuda PAS Terengganu menyambut baik pendekatan Kerajaan Negeri yang prihatin terhadap pandangan dan teguran rakyat berkaitan Program Pelita Raya dan Pesta Moreh di Terengganu.
Kami menyokong komitmen Kerajaan Negeri dalam mendengar dan mengambil serius setiap maklum balas rakyat. Tindakan ini mencerminkan sikap keterbukaan dan keprihatinan kerajaan dalam memastikan setiap program yang dianjurkan memelihara kesucian bulan Ramadan serta selari dengan nilai-nilai Islam.
Program Pelita Raya yang bertujuan mengangkat budaya warisan Melayu Islam Malaysia adalah usaha baik dalam memelihara identiti dan tradisi masyarakat. Namun, kami menyokong penuh pendirian Kerajaan Negeri untuk memperhalusi kandungan program agar lebih menepati nilai Islam dan tidak mencetuskan sebarang sensitiviti umat Islam.
Kami juga bersetuju dengan langkah kerajaan menambah baik pengisian di kawasan Pesta Moreh melalui pendekatan keagamaan seperti tazkirah dan aktiviti kerohanian. Pendekatan ini bukan sahaja membantu ekonomi rakyat, tetapi juga mengimbangi keperluan fizikal dan spiritual sepanjang Ramadan.
Usaha Kerajaan Negeri memperkukuh garis panduan kebudayaan dan hiburan adalah langkah bijak bagi memastikan setiap program yang dianjurkan mencerminkan syariat Islam. Ini juga seiring dengan agenda Indahnya Hidup Bersyariah yang menjadi tunjang pentadbiran negeri.
Kami turut menyambut baik jemputan untuk memeriahkan Madinah Ramadan di Masjid Tengku Tengah Zaharah. Inisiatif ini menjadi platform terbaik untuk mengimarahkan masjid dan memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat Terengganu.
Akhir sekali, kami percaya bahawa pendekatan Kerajaan Negeri ini bukan sahaja mampu memelihara keberkatan Ramadan, tetapi juga memperkukuh syiar Islam dalam kehidupan masyarakat.
ππ¨π©ππ― πππ’ππ πππ£ πππ§πͺπ£
ππ’πͺπ£ ππ¦π΅πΆπ’ πππππ
ππ¦π΅πΆπ’ ππ’π«π―π’π© ππ’π¬πΈπ’π© πππππ