Home Artikel PAS Kelantan

Wisma Tok Guru Salor: Bicara saman pemula Husam 4 Jan

1,112 views
SHARE

MAHKAMAH Tinggi Sivil di sini pada Ahad menetapkan 4 Januari tahun depan bagi menjalankan perbicaraan saman pemula Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor, Datuk Husam Musa.

Langkah itu dilakukan bagi menuntut haknya ke atas bangunan PAS Dun Salor yang dibina selepas mendapat kebenaran daripada pemilik tanah sebelum dijual, Allahyarham Datuk Rosli Ibrahim.

Timbalan Pendaftar, Wan Nor Aklima Wan Salleh menetapkan tarikh tersebut sementara menunggu kedua-dua belah pihak menyediakan dokumen sebelum dikemukan pada 2 Januari tahun depan.

Pihak plaintif yang diwakili oleh Hasif Azham Rizal, manakala defendan yang merupakan Setiausaha Kerja PAS Kelantan, Mohd Yasin Yusoff pula diwakili oleh Nor Bahrom & Co.

Mahkamah Tinggi di sini sebelum ini menolak permohonan injunksi dikemukan oleh Bekas Naib Presiden PAS itu terhadap pemilik tanah menempatkan bangunan yang dinamakan Wisma Tok Guru.

Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Bache, selepas mengambil kira keterangan Husam selaku plaintif dan defendan Mohd Yasin Yusoff, melalui peguam masing-masing. – HARAKAHDAILY 17/12/2017