Home Kenyataan Media PAS Kelantan

Tiga penjuru: PAS Kelantan yakin masih mampu menang

499 views
SHARE

PAS menyifatkan saingan sebenar parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 adalah BN dan bukannya PAN.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, ini kerana parti serpihan PAS itu bukan cabaran memandangkan terdapat sebahagian penyokong mereka telah kembali ke pangkuan PAS.

Malah beliau berkata, pihaknya yakin penyokong PAS  tetap setia dengan parti itu.

“Pada masa yang sama kita berharap hampir 40 peratus pengundi atas pagar cenderung memilih calon kita pada pilihan raya nanti.

“Kita yakin pengundi atas pagar akan memberi sokongan kepada PAS untuk terus memerintah Kelantan” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco, di sini hari ini.

Che Abdullah turut yakin jika pertandingan tiga penjuru, kelebihan masih memihak pada parti Islam itu.

Tambahnya, rakyat di negeri ini dilihat tiada keperluan untuk mengundi parti lain.

Menurutnya, sebaliknya pengundi akan terus memberi kepercayaan kepada kerajaan Kelantan.

“Tidak ada sebab penyokong PAS ingin menjatuhkan kerajaan negeri apa lagi sebahagian pengikut pemimpin PAN sudah kembali semula kepada kita,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/12/2017