Home Tadabbur Al-Quran

Taujihat dan Jawapan Al-Quran Tentang Rahsia Ashabul Kahfi, Zulqarnain dan Masalah Ruh

43 views
SHARE

📓Tadabbur Al Quran📓 Siri 10/2017

SURAH A-KAHFI: AYAT 23-26: TAUJIHAT DAN JAWAPAN AL-QURAN TENTANG RAHSIA ASHAB AL-KAHFI, ZULQARNAIN DAN MASALAH ROH

🖋 Firman Allah SWT serta terjemahannya:

وَلا تَقُولَنَّ لِشَيْءٍ إِنِّي فَاعِلٌ ذَلِكَ غَدًا

Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan terhadap sesuatu, “Sesungguhnya aku akan mengerjakan itu esok pagi. [23]

إِلا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ وَاذْكُرْ رَبَّكَ إِذَا نَسِيتَ وَقُلْ عَسَى أَنْ يَهْدِيَنِ رَبِّي لأقْرَبَ مِنْ هَذَا رَشَدًا

Kecuali (dengan menyebut), ‘Insya Allah’.” Dan ingatlah kepada Tuhanmu jika kamu lupa, dan katakanlah, “Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada ini.” [24]

وَلَبِثُوا فِي كَهْفِهِمْ ثَلاثَ مِائَةٍ سِنِينَ وَازْدَادُوا تِسْعًا

Dan mereka tinggal dalam gua selama tiga ratus tahun dan ditambah sembilan tahun. [25]

قُلِ اللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثُوا لَهُ غَيْبُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ أَبْصِرْ بِهِ وَأَسْمِعْ مَا لَهُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلا يُشْرِكُ فِي حُكْمِهِ أَحَدًا

Katakanlah, “Allah lebih mengetahui berapa lamanya mereka tinggal (di gua); milik-Nya semua yang tersembunyi di langit dan di bumi. Alangkah terang penglihatan-Nya dan alangkah tajam pendengaran-Nya; tidak ada seorang pelindung pun bagi mereka selain Dia, dan Dia tidak mengambil seorang pun menjadi sekutu-Nya dalam menetapkan keputusan. [26]

📖 Tafsir ringkas:

1. Menurut riwayat, ada beberapa orang Quraisy bertanya kepada Nabi Muhammad SAW tentang roh, kisah Ashabul Kahfi (penghuni gua) dan kisah Zulkarnain. Lalu baginda menjawab, “Datanglah esok pagi kepadaku agar aku ceritakan kepadamu.” Baginda tidak mengucapkan Insya Allah (jika Allah menghendaki). Tetapi apabila tiba keesokan hari, wahyu bagi menjawab pertanyaan tersebut tidak diturunkan sehingga Nabi tidak boleh menjawabnya. Maka turunlah ayat 23-24, sebagai teguran dan pengajaran kepada Nabi.

2. Manakala ayat 25 -26 pula merupakan berita dari Allah untuk Nabi SAW mengenai jangka masa Ashabul Kahfi tinggal di dalam gua, sejak mereka ditidurkan sehingga dibangunkan kembali oleh Allah SWT dan Dia mempertemukan mereka dengan orang-orang yang hidup pada zaman itu. Tempoh mereka tinggal di dalam gua menurut Allah adalah 300 tahun (menurut perhitungan matahari), yang ditambah lagi dengan 9 tahun (menurut perhitungan bulan). Perbezaan antara tahun bulan dengan tahun matahari dalam seratus tahun adalah tiga tahun. Oleh kerana itu, setelah mengutarakan tiga ratus tahun, Allah Taala berfirman, dan ditambah sembilan tahun.

3. Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui yang ghaib dan yang zahir. Maka Allah memberitahu tempoh mereka tinggal di dalam gua, dan bahawa yang mengetahuinya hanyalah Dia (kerana hal tersebut termasuk dalam perkara ghaib).

🎀 Pengajaran:

1. Sentiasa melazimi diri kita dengan mengucapkan Insya Allah apabila berkata-kata terutamanya apabila berjanji. Hal ini kerana, tanpa ucapan Insya Allah umpama berkata tentang hal yang masih ghaib. Menyebutkan ucapan ini juga ada beberapa faedah, antaranya berharap kemudahan dari Allah dan keberkatan-Nya, serta menunjukkan permintaan dari seorang hamba kepada Tuhannya.

2. Perlu menyakini hanya Allah yang mengetahui segala perkara ghaib yang berlaku. Kita sebagai manusia perlu mempercayainya walaupun kita tidak dapat melihatnya mahupun merasainya.

📚 Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
Tarikh: 6.10.2017 / 15 Muharram 1439H