Home Kenyataan Media PAS Sarawak

Tahap Keselamatan Pembinaan Pan Borneo Perlu Dipertingkat

87 views
SHARE

Oleh: SYAURAH FATIHAH YUSOF

KUCHING: Aspek keselamatan pengguna jalan raya mesti menjadi fokus utama dalam pembinaan lebuh raya Pan-Borneo, demikian gesa Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak, Izyan Haziqah Isrofeil.

Katanya, statistik kemalangan yang semakin meningkat dan keadaan jalan raya kurang selamat serta pengabaian aspek keselamatan dalam pembinaan lebuhnraya itu, telah meletakkan nyawa rakyat sebagai taruhan.

“Statistik kemalangan jalan raya pada 6 bulan pertama bagi tahun 2017 sahaja telah menunjukkan peningkatan sebanyak 1.8 peratus.

“Yang terbaru, kemalangan maut dilaporkan berlaku di jalan Kuching-Sri Aman yang melibatkan empat buah kenderaan,” ujarnya dukacita terhadap perkembangan tersebut.

Menurut beliau, faktor jalan raya kurang selamat menjadi antara punca utama berlakunya kemalangan disebabkan keadaan gelap, struktur permukaan jalan yang tidak rata dan kekurangan papan tanda amaran.

Katanya lagi, langkah-langkah penambahbaikan melibatkan keselamatan perlu menjadi keutamaan antaranya memperbanyakkan lagi lampu kerlipan dan penghadang jalan di kawasan lencongan.

Selain itu pinta Izyan, papan tanda amaran dan aspek keselamatan pekerja sewaktu pembinaan juga amat perlu dititiberatkan.

Tegas beliau, pihak berwajib perlu mengambil tindakan tegas kepada kontraktor yang tidak mematuhi aspek-aspek keselamatan pembinaan lebuh raya bersejarah itu.

“Kegagalan mengambil tindakan akan menyebabkan kadar kemalangan semakin meningkat,” seru beliau supaya penguatkuasaan atau prosedur kerja berkaitan dilaksanakan.