Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran (Siri 27/2018)

92 views
SHARE

SURAH AL-KAHFI: MUSA DAN PENGEMBARAAN ILMU 3: 77-78

Firman Allah SWT serta terjemahannya:

فَانطَلَقَا حَتَّىٰ إِذَا أَتَيَا أَهْلَ قَرْيَةٍ اسْتَطْعَمَا أَهْلَهَا فَأَبَوْا أَن يُضَيِّفُوهُمَا فَوَجَدَا فِيهَا جِدَارًا يُرِيدُ أَن يَنقَضَّ فَأَقَامَهُ قَالَ لَوْ شِئْتَ لَاتَّخَذْتَ عَلَيْهِ أَجْرًا

Kemudian keduanya berjalan lagi, sehingga apabila mereka sampai kepada penduduk sebuah bandar, mereka meminta makan kepada orang-orang di situ, lalu orang-orang itu enggan menjamu mereka. Kemudian mereka dapati di situ sebuah tembok yang hendak runtuh, lalu dia (Khidir) membinanya. Nabi Musa berkata: “Jika engkau mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah mengenainya!”

قَالَ هَٰذَا فِرَاقُ بَيْنِي وَبَيْنِكَ سَأُنَبِّئُكَ بِتَأْوِيلِ مَا لَمْ تَسْتَطِع عَّلَيْهِ صَبْرًا

Dia (Khidir) menjawab: “Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu, aku akan terangkan kepadamu maksud (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya.

Tafsir ringkas:

1. Ayat ini merupakan sambungan kepada kisah pengembaraan Nabi Musa bersama Khidir. Perjalanan diteruskan setelah dua kali perjalanan sebelumnya, sehinggalah mereka tiba di sebuah negeri. Permusafiran yang jauh menjadikan mereka letih dan lapar. Bagaimanapun, penduduk di situ tiada yang mahu memberikan mereka makanan walau sedikit pun.

2. Kemudian, mereka menjumpai sebuah dinding (rumah) yang hampir hendak roboh. Lalu Khidir membaiki dan menegakkan kembali dinding tersebut.

3. Nabi Musa lantas mengatakan, Khidir berhak meminta upahnya daripada penduduk negeri yang kedekut itu.

4. Khidir lalu menyatakan, sudah tiba masanya mereka berpisah. Ini kerana Nabi Musa telah melanggar syarat perjanjian dirinya sendiri.

5. Khidir akan menjelaskan tujuan dan sebab atas perbuatan yang dilakukan, yang telah membuatkan Nabi Musa tidak sabar terhadapnya.

Pengajaran:

1) Menuntut ilmu memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan jiwa raga. Kita bukan sahaja harus bersabar, malah dianjur untuk memperkuatkan lagi kesabaran dalam menempuh kepayahan terutama di medan ilmu dan ketika berguru dengan guru yang tinggi ilmunya.

2) Aturan dan adab berguru mesti dipatuhi. Sentiasa memerhati, menyelidiki serta mengambil hikmah dan pengajaran dari guru sebelum melangkaui kerja dan perancangan guru.
3) Menjadi guru bukan sahaja memberi ilmu, malah mendidik akhlak dan jiwa pelajar.

4) Sumbanglah seikhlas mungkin ketika berbuat kebajikan dan amal, tanpa mengharapkan balasan.

5) Kerja-kerja Islah (memperbaiki masyarakat) adalah kerja yang mulia. Lakukannya mengikut kemampuan dan apa yang kita ada, mungkin kita memiliki harta dan wang ringgit, kedudukan dan ilmu, idea dan buah fikiran atau tenaga dan kekuatan. Buatlah sesuatu dengan sumber yang ada untuk memperbaiki keadaan kepada yang lebih baik.

Rujukan:
Tafsir Al-Azhar dan Tafsir Ibn Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
2 Februari 2018 / 16 Jamadil Awal 1439